Anggota bomba Daerah Kapar melakukan misi menyelamat penduduk Jalan Paip selepas kawasan perumahan mereka dinaiki air berikutan hujan lebat berpanjangan bermula dari pagi sehingga lewat malam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Meru, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 19 DISEMBER 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan tujuh orang menjadi korban bencana banjir manakala seorang masih lagi hilang sejak Sabtu lalu.

Pengarah JBPM negeri, Norazam Khamis berkata, daripada jumlah itu, tiga daripadanya ditemukan mati lemas dan seorang meninggal dunia di ruang atas rumah di Taman Seri Muda, Shah Alam yang terjejas akibat banjir.

Menurut beliau,  dua lagi kes mati lemas berlaku masing-masing di Dengkil, Sepang dan Desa Coalfields, Kuala Selangor dan seorang dipercayai hilang di Sungai Pinang.

“Bagi kawasan Taman Seri Muda ini, bomba menemui mangsa pertama pada Sabtu, dua mangsa ditemukan semalam.

Selain itu, Norazam menambah, selain empat mayat di Taman Seri Muda, bomba turut menemui dua mangsa dipercayai lemas di Dengkil.

“Ini adalah dua kes berasingan hari ini dan identiti belum dikenal pasti. Seorang mayat pemandu treler ditemui di Desa Coalfields manakala seorang lelaki dilaporkan hilang di Sungai Pinang, Klang semalam dipercayai terjatuh ke dalam parit,” katanya. – MalaysiaGazette