Dua pengurus syarikat yang didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima rasuah di Kompleks Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 21 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Dua beradik yang bekerja sebagai kontraktor berhadapan dengan empat pertuduhan memberi rasuah demi mendapatkan kerja membaik pulih sebuah koleh di Hulu Selangor.

Berdasarkan pertuduhan, Amir Ali, 45, pada April 2020 dituduh memberi suapan berjumlah RM20,000 kepada seorang jurutera di Jabatan Kerja Raya Hulu Selangor untuk mendapatkan kerja-kerja projek naik taraf dan pembaikan bangunan dan infrastruktur Kolej Komuniti Hulu Selangor.

Pada Ogos pula beliau memberi suapan sebanyak RM20,0000 kepada individu yang sama demi mendapatkan kerja-kerja penyelenggaraan am bangunan dan pembaikan bumbung di RKK Mini, Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

Sebulan selepas itu, Amir sekali lagi didakwa memberi suapan dengan jumlah yang sama untuk mendapatkan kerja pembaikan dan penyelenggaraan am bangunan di Pusat Perkembangan Kanak-kanak Serendah.

Manakala adiknya, Asdi Ali, 41, didakwa memberi suapan RM23,000 kepada jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Selangor untuk mendapatkan kerja-kerja membaik pulih kongkang tepi jalan di Jalan Hulu Bernam; kerja-kerja cadangan membaik pulih menurap semula jalan-jalan serta kerja berkaitan di Kampung Seri Keledang dan SKC Jaya, Mukim Hulu Bernam termasuk kerja-kerja membaik pulih permukaan jalan serta kerja-kerja berkaitan di Jalan Kg. Teratai, Sungai Choh, Daerah Hulu Selangor.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah.

Dua beradik itu turut didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jika disabit kesalahan, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama iaitu dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut nilai tertinggi.

Hakim Rozilah Salleh kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 kepada Amir manakala adiknya diikat jamin dengan jumlah RM15,000.

Kedua-dua mereka diarahkan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan sekali sebulan.

Mahkamah Sesyen menetapkan 26 Januari depan sebagai tarikh sebutan kes. – MalaysiaGazette