ACP Baharudin Mat Taib

KUALA LUMPUR – Pasukan mencari dan menyelamat bomba dan polis hari ini menemui dua mayat mangsa banjir yang lemas di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, penemuan dua mangsa terbaharu itu menjadikan jumlah kematian di taman Sri Muda meningkat kepada 14 orang.

“Kedua-dua mangsa dikenalpasti sebagai bapa dan anak iaitu seorang lelaki warga emas tempatan berusia 76 tahun dan seorang perempuan berusia 48 tahun,” katanya pada sidang media, di Shah Alam, hari ini.

Tambah beliau, pencarian ke atas dua beranak itu dimulakan selepas saudara mereka memaklumkan mengenai kehilangan mereka.

“Saudara mangsa telah memberikan alamat rumah si mati sebelum bertindak atas maklumat itu, kita polis bersama bomba telah mencari mereka di alamat rumah yang diberikan itu.

“Mangsa telah tinggal di rumah teres itu sebelum polis (dan bomba) menemui kedua-dua mangsa dalam keadaan mati lemas di dalam rumah mereka petang tadi sebelum dibawa keluar dengan bantuan bomba dan dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat,” ujarnya.

Sementara itu, Baharudin meminta orang ramai melaporkan kepada polis jika mendapati kenalan atau ahli keluarga mereka masih tak dapat dikesan sejak banjir beberapa hari lalu.

Kata beliau, pihaknya akan turun ke lokasi dan membuat pemeriksaan di kawasan perumahan untuk memastikan tiada yang terperangkap dengan banjir. – MalaysiaGazette