Ashraf Rosli

KUALA LUMPUR – Biro Politik dan Pengurusan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) sepakat membuat ketetapan kerajaan Persekutuan gagal sepenuhnya dalam menangani masalah banjir yang berlaku di Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketetapan itu dicapai dalam mesyuaratnya hari ini, yang menyifatkan masalah itu boleh diatasi sekiranya semua jentera kerajaan termasuk menteri dan pegawai kanan yang mengendalikan agensi pengurusan banjir proaktif dengan tanggungjawab masing-masing.

Menurut Ketua Penerangan Putra, Ashraf Rosli, bencana banjir yang melanda negara bermula 18 November lalu telah mengorbankan 34 nyawa sehingga kini, dianggap angka korban paling tinggi sejak banjir besar pada 2014.

Katanya, 20 daripada jumlah korban itu dilaporkan di Selangor, manakala selebihnya di Pahang yang turut mengalami banjir sejak Isnin lalu.

“Kita amat kesal dan kecewa dengan kelembapan agensi pengurusan bencana turun ke lokasi membantu menyelamatkan mangsa banjir, sehingga ada yang terperangkap dua, tiga hari di rumah tanpa sebarang bantuan.

“Agensi terlibat seperti NADMA juga tidak ada penyelarasan antara satu sama lain sehingga tidak kelihatan aset yang bernilai jutaan ringgit digunakan bagi membantu mangsa.

“Kerajaan ada NADMA, tetapi seperti tidak wujud. Hanya selepas banjir surut baru muncul,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, tegas Ashraf, Putra mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merombak semula struktur NADMA dari peringkat menteri, Ketua Pengarah dan pegawai-pegawai kanannya.

Semua mereka yang bertanggungjawab dalam NADMA harus meletakkan jawatan kerana telah mendapat kecaman teruk dari pelbagai lapisan masyarakat dan NGO’s.

“Ismail Sabri perlu melihat semula perkara ini. Jangan membazir duit rakyat membayar gaji mereka yang tidak tahu buat kerja.

“Memang ‘bow tie’ tidak sesuai dengan tugas menangani bencana, yang memerlukan mereka yang agresif dan cekap,” tegasnya.

Katanya, Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia khususnya harus mencontohi Kuwait, Jordan dan Jerman, yang memecat menteri mereka kerana gagal mengurus bencana banjir.

“Peliknya di negara ini, mereka yang gagal dalam semua perkara dinaikkan pangkat, gaji dan dipuji melambung sebagai wira,” katanya.

Putra juga mendesak kerajaan mengambil tanggungjawab membayar pampasan ganti rugi RM200,000 kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam kejadian banjir.

Begitu juga, katanya, pampasan RM30,000 kepada setiap keluarga yang rumah mereka musnah dan RM5,000 bagi yang kenderaan rosak.

“Kalau kerajaan mampu berfikir untuk mendenda rakyat akibat melanggar SOP Covid-19 dari RM10,000 kepada RM100,000, mengapa kerajaan tidak bersedia membayar pampasan yang tinggi kepada rakyat yang menjadi korban banjir.

“Malaysia sekarang ini benar-benar sudah bertukar corak sebagai negara ‘ayam berkokok, hari tak siang’. Tidak ada beza kerajaan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Keluarga Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast