Suhaizan Kaiat

JOHOR BAHRU – Speaker Dewan Undangan Negeri ( DUN) Johor, Suhaizan Kaiat berkata, tiada pilihan Raya Kecil ( PRK) bagi DUN Kempas berikutan kematian Datuk Osman Sapian semalam.

Ini kerana, kekosongan kerusi itu berlaku lebih daripada tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 ( PRU-14) yang berlangsung pada Mei 2018.

“Oleh kerana kekosongan ini berlaku lebih tiga tahun daripada PRU14, maka tiada PRK perlu diadakan.

“Selain itu tidak ada isu majoriti DUN Johor dengan kelebihan satu kerusi di pihak kerajaan maka mengikut fasal 23(5) Undang- undang Tubuh Kerajaan Negeri, tiada PRK di DUN Kempas,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Suhaizan yang sedang mengerjakan ibadah umrah turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Osman.

Osman, 70, disahkan meninggal dunia di kediaman anaknya di Damansara Kuala Lumpur kira-kira jam 11.45 malam tadi.

Allahyarham yang  juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Ayer  diserang strok sebelum ini dan menerima rawatan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Selangor.

Osman adalah Menteri Besar Johor ke-16 dan yang pertama daripada PPBM yang dilantik selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Allahyarham menjawat jawatan itu selama 11 bulan sebelum melepaskan jawatan pada April 2019.

Beliau adalah menteri besar bagi tempoh 12 Mei 2018 sehingga 8 April 2019. -MalaysiaGazette