new record Covid-19 booster dose daily cases
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 363 Pusat pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi di seluruh negara bagi menempatkan mangsa banjir sehingga jam 3 petang hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan tujuh negeri yang terkesan teruk akibat bencana banjir pada 18 Disember lalu iaitu Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Melaka.

“Jumlah keseluruhan mangsa terjejas akibat banjir besar luar biasa itu adalah seramai 53,696 orang.

“Manakala seramai 405 orang mangsa banjir setakat ini disahkan positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, kata Noor Hisham, tiada mangsa banjir yang positif Covid-19 yang ditempatkan di PPS setakat ini.

“Sebanyak 324 kes penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir oleh KKM.

“Bilangan kes yang dilaporkan adalah penyakit Saluran Pernafasan Akut (ARI) membabitkan 148 kes, Penyakit Kulit (93 kes), Acute Gastroenteritis (AGE) 75 kes dan Konjunktivitis 8 kes,” ujarnya. – MalaysiaGazette