Dr Muhamad Akmal Saleh.

MELAKA – Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh menafikan berlaku kejadian seorang pesakit di Hospital Melaka diperlakukan seperti ‘bola’ dalam mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Sebaliknya, menurut beliau, apa yang berlaku hanya salah faham sehingga menjurus kepada andaian tidak tepat yang menyebabkan perkara itu disalah tafsir.

Malah menurutnya, dalam kunjungannya secara mengejut di Klinik Kesihatan Peringgit, di sini, lewat petang ini, tiada insiden pesakit berkenaan terpaksa merayu kepada doktor bertugas berdasarkan bukti yang dilihat.

“Saya dah melihat rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di klinik tadi dan nampaknya tiada langsung perbuatan merayu seperti didakwa yang mana ia mungkin salah faham.

“Sebaliknya, doktor bertugas telah merawat pesakit berkenaan, malah telah merujuknya ke Hospital Melaka apabila melihat keadaan semakin serius,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas melakukan lawatan mengejut di Klinik Kesihatan Peringgit, di sini, hari ini.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan seorang individu mempersoalkan kualiti perkhidmatan Hospital Melaka yang didakwanya menjadikan pesakit seperti ‘bola’ dalam proses memberi rawatan sehingga mereka terpaksa merayu.

Malah status dimuat naik lelaki berkenaan melalui Facebook (FB) Ayit Zek sejak Rabu lalu mendakwa lelaki terbabit menceritakan kisah seorang pesakit Myelofibrosis atau barah sum-sum tulang yang mengalami demam panas sehingga 40 darjah celcius untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka menaiki Grab pada petang Rabu lalu.

Bagaimanapun, dakwanya, pesakit berkenaan kemudian diarahkan kakitangan hospital untuk ke Klinik Kesihatan Peringgit kerana mendakwa pesakit hanya mengalami demam tanpa dibuat saringan suhu.

Apabila tiba di Klinik Kesihatan Peringgit ujarnya, pesakit ditanya alamat dan staf terus meminta pesakit ke Poliklinik Ayer Keroh kerana alamat tempat tinggalnya di Bukit Katil.

Malah katanya, pesakit merayu pada doktor untuk rawatan kerana tak mampu bergerak dan setelah suhu diperiksa, pesakit diberi rawatan awal dan dihantar semula ke Hospital Melaka menggunakan ambulans Hospital Melaka.

Mengulas lanjut, Dr Akmal berkata, dakwaan mengenai Hospital Melaka menolak pesakit adalah kerana salah faham mengenai operasi hospital besar di seluruh negara yang hanya menerima kes kecemasan sebelum jam 5 petang.

“Pada ketika itu waktu belum 5 petang dan memang menjadi polisi hospital kerajaan di seluruh negara sebelum pukul 5 petang kalau kes itu tidak kecemasan, maka ia perlu dapatkan rawatan di klinik kesihatan berdekatan.

“Tapi sekali lagi saya ingatkan ‘no wrong door policy’ telah ditetapkan untuk semua klinik kesihatan yang mana walaupun pesakit berada jauh daripada klinik tersebut dari alamat tempat tinggal, mereka tidak boleh menolak untuk merawat pesakit berkenaan,” katanya.

Tambahnya, beliau juga berpuas hati dengan amalan polisi berkenaan di Klinik Kesihatan Peringgit yang mana telah melakukan ‘eksperimen’ menghantar pegawai kebajikannya yang beralamat di Sempang, Merlimau tetapi diterima untuk mendapatkan rawatan di klinik berkenaan hari ini. – MalaysiaGazette

Ada pihak dakwa Hospital Melaka buat pesakit macam bola?