Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Penyelia tapak projek antara tiga mangsa terpedaya dengan sindiket Macau Scam membabitkan kerugian berjumlah RM33,653.29 hanya dalam sehari di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada ketiga-tiga mangsa tersebut yang terpedaya menerusi sindiket dalam talian.

Dalam kes pertama membabitkan mangsa lelaki  berusia 51 tahun bekerja sebagai penyelia tapak projek yang menerima panggilan daripada seorang individu yang menyamar sebagai pegawai bank.

“Mangsa telah dimaklumkan oleh suspek terdapat penggunaaan kad kredit atas namanya untuk pembelian bitcoin sebelum panggilan disambungkan kepada pegawai Bank Negara dan  mangsa diminta untuk menyerahkan butiran perbankan akaun bank miliknya.

“Akibatnya, mangsa kemudiannya mendapati telah mengalami kerugian sebanyak RM11, 153.29 yang dikesan telah dipindahkan daripada akaun simpanannya kepada individu yang tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Aidi Sham, kes kedua melibatkan wanita  berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan bank.

Ujar beliau, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Menurutnya, mangsa telah dimaklumkan terdapat tunggakan cukai atas nama syarikat didaftarkan atas namanya dan mangsa diminta untuk menyerahkan butiran perbankan akaun bank.

“Selepas terpedaya, mangsa telah mengalami kerugian sebanyak RM13, 900 yang dipindahkan kepada individu yang tidak dikenali.

“Mangsa ketiga pula adalah seorang warga emas lelaki  merupakan seorang pesara swasta menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank,” katanya lagi.

Ujar beliau, mangsa telah dimaklumkan terdapat penggunaaan kad kredit atas namanya yang telah digunakan untuk pembelian bitcoin.

Panggilan disambungkan kepada pegawai Bank Negara dan polis untuk tujuan siasatan  dan mangsa telah diminta ke mesin ATM untuk mengubah had limit pengeluaran dan membuat pemindahan wang kepada akaun yang tidak dikenali.

“Akibat terpedaya dan menuruti arahan sindiket, mangsa akhirnya telah menyedari mengalami kerugian sebanyak RM8, 600 yang dikesan dipindahkan dalam akaun pihak ketiga tidak dikenalinya dalam kejadian ini,” katanya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan juga boleh didenda jika sabit kesalahan.- MalaysiaGazette