Datuk Hasanuddin Mohd Yunus

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat aduan berhubung ketidakpatuhan Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus yang dikatakan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk kuarantin di rumah sebaik pulang dari luar negara.

Hasanuddin didakwa tidak patuh kuarantin tujuh hari selepas menyertai Sidang Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki baru-baru ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ketika ini pihaknya sedang menyiasat mengenai dakwaan itu selepas Hasanuddin dikatakan keluar ke kawasannya yang dilanda banjir beberapa hari selepas pulang dari luar negara.

“Dia sebelum ini memohon pengecualian kuarantin di rumah untuk perjalanan antara 8 hingga 12 Disember untuk menyertai Sidang Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul. Kita sedang cuba faham apa yang berlaku dalam kes beliau,” katanya kepada pemberita ketika ditanya berhubung perkara itu di sini hari ini.

Sambung Khairy lagi, ketika Hasanuddin tiba pulang ke tanahair pada 22 Disember lalu, permohonan asal untuk pengecualian kuarantin di rumah bertindih kerana wakil rakyat itu juga telah membuat perjalanan ke Iran dan Pakistan dari Turki.

“Namun pada 20 Disember lalu, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan sudah menghantar e-mel kepadanya bagi memaklumkan permohonan kuarantin di rumah sudah diluluskan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairy memberitahu mana-mana menteri yang pulang dari luar negara perlu mengikut SOP seperti biasa.

Ini termasuklah menteri dan timbalan menteri yang telah dipanggil pulang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri semalam semalam untuk membantu rakyat dalam situasi banjir ketika ini.

“Walau dipanggil pulang namun demikian sangat penting kita berwaspada dan hati-hati. Semua perlu ikut SOP,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast