Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Ekoran peningkatan kes varian Omicron, kerajaan mungkin akan menetapkan tempoh masa baharu yang lebih pendek kepada seseorang individu untuk mengambil suntikan dos penggalak Covid-19.

Pengumuman tersebut dijangka akan diumum awal minggu depan.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ia juga selaras dengan dengan keputusan negara-negara lain seperti Jerman dan Australia yang mengesyorkan tempoh dos penggalak lebih pendek bagi membendung varian Omicron.

Walaupun mengakui ada kemungkinan jangkitan varian itu lebih ringan berbanding varian Delta sebelum ini namun beliau tidak mahu mengambil mudah mengenainya.

“Sama ada data ini terpakai di Malaysia atau tidak kita belum ketahui. Epidemiologi di UK (United Kingdom) dan di Malaysia adalah berbeza, jadi apabila gelombang Omicron tiba sebenarnya kita akan tahu ini akan menyebabkan kemasukan ke hospital meningkat atau sebaliknya.

“Kemungkinan Omicron sudah berada di dalam komuniti adalah agak tinggi disebabkan kes di Sarawak ini adalah seorang yang tidak ada sejarah perjalanaan keluar negara.

“Maka ini menunjukkan bahawa ia sudah berada di komuniti dan kita menjangkakan kes-kes akan meningkat disebabkan Omicron sudah ada di komuniti,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas  yang turut di hadiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah di sini hari ini.

Kata Khairy lagi, sesiapa yang merancang untuk ke luar negara dinasihatkan mengambil dos penggalak terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.

“Ini terutamanya kepada yang merancang melakukan perjalanan umrah di Arab Saudi,” katanya.

Setakat ini, 49 kes varian Omicron yang disahkan di Malaysia pada 23 dan 24 Dis, 30 kes (61 peratus) melibatkan pelancong yang pulang dari Arab Saudi. Pengembara ini tiba di Malaysia antara 13 dan 17 Disember. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast