Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah PPN Phase 1 relaxation dine in
Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kes sembuh jangkitan Covid-19 yang direkodkan pada hari ini lebih tinggi berbanding kes positif baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pulih dan dibenarkan discaj adalah sebanyak 3,539 menjadikan jumlah kumulatif yang sembuh iaitu 2,665,034 kes.

Bagaimanapun katanya, sebanyak 306 kes masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 170 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Terdapat pertambahan terhadap jumlah kluster baharu dengan hari ini dua lagi kluster ditemui menjadikan jumlah keseluruhan kluster di negara ini adalah sebanyak 6,103.

Daripada jumlah itu sebanyak 218 kluster masih lagi aktif namun, 5,885 kluster telahpun ditamatkan.

Terdahulu hari ini, Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 2,778 kes jangkitan baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

Beliau menjelaskan, daripada jumlah itu sebanyak 2,649 kes adalah penularan tempatan manakala 129 lagi merupakan kes import.

Katanya, menerusi kes harian baharu itu sebanyak 2,718 kes terdiri daripada kategori satu dan dua manakala 60 kes lagi membabitkan kategori tiga, empat dan lima. – MalaysiaGazette