Penunggang motosikal dan basikal boleh nikmati diskaun 50 peratus naiki Feri Pulau Pinang selama enam bulan bermula Januari ini.

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) akan membiayai sebanyak 50 peratus tambang feri kepada penguna feri roro selama enam bulan mulai 1 Januari 2022.

Pengerusi SPPP, Datuk Tan Teik Cheng berkata, inisiatif itu adalah bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sekali gus selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

Kata Teik Cheng, SPPP akan menyumbang peruntukan sebanyak RM58,333 sebulan atau RM350,000 bagi tempoh enam bulan pembiayaan 50 peratus tambang kepada penumpang motosikal dan basikal.

Tan Teik Cheng (kanan).

“Pada masa ini tambang feri yang dibayar oleh penunggang motosikal ialah RM2.00 manakala RM1.20 bagi penunggang basikal dan dengan pemberian diskaun itu, penunggang motosikal hanya perlu membayar RM1.00 dan 60 sen bagi penunggang basikal.

“Faedah ini boleh dinikmati semua lapisan pengguna termasuk bukan warganegara.

“Pengguna feri roro akan melalui kaunter tiket seperti biasa dan tambang akan terus ditolak diskaun secara automatik,” katanya pada sidang media di Terminal Swettenham Pier Cruis, di sini, hari ini.

Menurut Teik Cheng, SPPP berharap dengan pembiayaan 50 peratus tambang feri pada saat kritikal ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan bebanan kos perjalanan rakyat yang berulang-alik menggunakan pengangkutan awam.

Selepas feri Pulau Pinang diserah kepada PPSB pada 1 Januari 2021, sebanyak 300,000 penumpang motosikal dan basikal dicatatkan menggunakan feri roro berbanding hampir 600,000 penumpang motosikal dan basikal sebelum pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast