Pengasas Team Haq Esports Club Aimanhaq Zaharudin turun padang membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda, Selangor dan Temerloh, Pahang.

KUALA LUMPUR  – Orang ramai perlu berhenti daripada menuding jari terhadap agensi penguatkuasa atas dakwaan lambat menyalurkan bantuan di kawasan yang terjejas banjir, sebaliknya mereka perlu sama-sama turun padang membantu mangsa-mangsa yang memerlukan termasuk semasa pasca banjir.

Salah seorang setiausaha Kelab Rukun Tetangga (KRT), Fasa 7, Taman Seri Gombak, Datin Rohana Mustafa, 62, berkata, masyarakat tidak boleh menidakkan peranan dimainkan pihak berkuasa selama ini yang bertungkus lumus membantu apabila berdepan dengan sebarang bencana sebelum ini.

“Kawasan yang terlibat dengan banjir kali ini agak besar untuk kita meletakkan tanggungjawab menyelamat sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Sebaliknya sebagai rakyat, kita perlu sama-sama turun membantu dengan ikhlas dengan mematuhi prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Namun apa yang perhatikan netizen lebih gemar menyalahkan pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Pertahanan Awam sedangkan mereka sendiri menyambung nyawa meredah arus untuk menyalurkan bantuan.

“Paling menyedihkan apabila ada dalam kalangan anggota penyelamat ini turut terjejas dengan banjir apabila kediaman dinaiki air ketika mereka sedang melakukan usaha menyelamat orang ramai,” katanya.

Menurutnya KRT Fasa 7 setakat ini telah menyalurkan pelbagai bantuan seperti makanan kering, telekung, kain batik dan pelikat serta sejadah di kawasan Janda Baik, Pahang; Shah Alam dan Hulu Selangor, Selangor.

Pihak perseorangan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan perlu mematuhi arahan pihak berkuasa untuk mengelak sebarang kesesakan di kawasan bencana.

Sementara itu Pengasas Team Haq Esports Club, Aimanhaq Zaharudin, 22, senada dengan Rohana dan sanggup menutup sementara operasi pejabatnya bagi bersama-sama lebih 10 kakitangannya membantu mangsa banjir.

Katanya, tanggungjawab membantu mangsa banjir bukan hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya harus dipikul bersama-sama oleh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama sebagai Keluarga Malaysia.

“Pada masa yang sama, pihak perseorangan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan perlu mematuhi arahan pihak berkuasa untuk mengelak sebarang kesesakan di kawasan bencana sehingga menyukarkan pihak berkuasa untuk melakukan operasi menyelamat,” katanya.

Menurutnya, sikap saling membantu mereka yang ditimpa musibah termasuk banjir mencerminkan konsep Keluarga Malaysia seperti yang diketengahkan oleh kerajaan.

Aimanhaq yang menggunakan wang poket sendiri dan dana yang dikumpul daripada rakan-rakan lain mula turun padang bagi menyalurkan bantuan sejak 18 Disember lalu bermula di Taman Sri Muda, Selangor dan Temerloh, Pahang. – MalaysiaGazette