KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) mengumumkan kemasukan pemain import baharu di posisi penyerang iaitu Herlison Caion de Sousa Ferreira bagi menggantikan tempat Ifedayo Olusegun musim depan.
Pemain dari Brazil itu mula melibatkan diri dalam kancah bola sepak Asia sejak berusia 19 tahun lagi dengan bermain di Liga Korea bersama Gangwon FC dan kembali bermain pada di Korea Selatan tahun 2018 bermain di Daegu FC.
Dia juga memiliki pengalaman beraksi dalam saingan Liga Thailand selama empat musim dari 2019 hingga 2021 bersama Navy FC, PT Prachuap FC, Chonburi FC, Suphanburi FC dan Muangkan United dengan mencatatkan jumlah keseluruhan 85 penampilan, 34 gol dan 13 bantuan gol.
“Saya gembira kami dapat menandatangani dan meyakinkan Caion untuk berpindah dari Thailand ke Malaysia. Beliau telah menjadi pemain yang dikenali dan terbukti kebolehannya dalam bola sepak Thailand sejak empat ke lima tahun yang lalu.
“Dengan gaya bola sepaknya, beliau boleh menyesuaikan diri dengan bola sepak peralihan yang kami mahu mainkan. Kami memerlukan pemain yang boleh menjaringkan gol dan dengan pengalamannya menjaringkan banyak gol di Asia Tenggara, saya mempunyai perasaan yang baik dan keyakinan sepenuhnya kepadanya,” kata Michael dalam kenyataan, hari ini.
Caion, 31, merupakan pemain terbaharu keenam yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan Samuel Somerville, Yazan Al-Arab, Baha’ Abdelrahman, Zahril Zabri dan Fazly Mazlan baru-baru ini.
Penyerang memiliki ketinggian 184 sentimeter itu berharap dalam membantu Selangor mencapai kejayaan pada musim depan.
“Mengikut rancangan yang disampaikan kepada saya, kelab ini akan berusaha untuk mencapai kejayaan bersama. Saya percaya musim ini akan menjadi tahun di mana kelab akan mendapat pencapaian yang hebat kerana saya yakin kita mampu mendapatkannya,” ujar Caion. – MalaysiaGazette