Suasana di sekitar Pelabuhan Klang dan Port Klang Free Zone di Ibu Pejabat Port Klang Free Zone (PKFZ), Pelabuhan Klang.

KUALA LUMPUR – Dagangan Malaysia melepasi paras RM2 trilion buat kali pertama bagi tempoh Januari hingga November 2021, meningkat 24.6% tahun ke tahun kepada RM2.01 trilion.

Kementerian Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, eksport meningkat 25.7% kepada RM1.116 trilion manakala import naik sebanyak 23.3% kepada RM894.42 bilion.

Prestasi ini menjadikan lebihan dagangan meningkat sebanyak 36.2% kepada RM221.53 bilion.

Sementara itu, perdagangan mencatatkan pertumbuhan dua angka bulan ke-10 berturut-turut sejak Februari 2021 pada November 2021, berkembang 34.9% tahun ke tahun kepada RM205.5 bilion.

MITI berkata, angka itu melebihi paras RM200 bilion buat kali kedua berturut-turut.

Eksport meningkat sebanyak 32.4% kepada RM112.2 bilion, bulan ke-15 berturut-turut pengembangan tahun ke tahun sejak September 2020.

Sementara itu, import meningkat 38% kepada RM93.3 bilion tahun ke tahun.

Pengembangan eksport itu disokong oleh eksport kukuh produk elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum serta minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit.

Eksport ke pasaran utama, terutamanya ke ASEAN, China, AS, Kesatuan Eropah dan Jepun, mencatat pertumbuhan dua angka, manakala eksport ke ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) mencatatkan nilai bulanan tertinggi sepanjang masa.

Pada asas bulan ke bulan, perdagangan dan import meningkat sebanyak 1.5% dan 5.9%, manakala eksport dan lebihan perdagangan menguncup masing-masing sebanyak 1.9% dan 28.1%.

MITI berkata, pada November 2021, semua sektor utama mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun dua digit didorong oleh eksport yang lebih tinggi bagi semua produk kecuali keluaran getah dan petroleum mentah.

Kementerian itu menambah, pada November 2021, perdagangan dengan ASEAN, yang menyumbang 27.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia berkembang 45.5% tahun ke tahun kepada RM56.63 bilion.

Eksport meningkat sebanyak 39.4% kepada RM32.91 bilion berikutan eksport kukuh petroleum dan produk E&E.

Perdagangan dan eksport mencatatkan nilai bulanan tertinggi. Import dari ASEAN meningkat 54.8% kepada RM23.72 bilion.

MITI berkata, eksport ke semua pasaran ASEAN mencatatkan peningkatan, terutamanya ke Singapura, yang meningkat sebanyak RM2.63 bilion disebabkan oleh eksport produk petroleum yang lebih tinggi, Vietnam (meningkat RM2.47 bilion disebabkan produk E&E), Thailand (meningkat RM985.2 juta disebabkan kepada produk E&E), Indonesia (meningkat RM1.86 bilion disebabkan oleh produk petroleum) dan Filipina (meningkat RM889.8 juta disebabkan oleh kondensat petroleum dan minyak petroleum lain).

Sementara itu, MITI berkata, jumlah import pada November 2021 meningkat 38% tahun ke tahun kepada RM93.3 bilion.

Ia berkata, bagi tempoh Januari hingga November 2021, import berkembang 23.3% tahun ke tahun kepada RM894.42 bilion.

Import barangan pengantara meningkat 26.9% kepada RM493.72 bilion, diikuti oleh barang modal (meningkat 13.8% kepada RM93.66 bilion) dan barangan penggunaan (meningkat 13.2% kepada RM75.92 bilion). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast