Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Mat Yusop. Foto FAREEZ FADZIL, 28 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah meluluskan 15,000 permohonan bantuan RM600 yang dikhaskan kepada mangsa banjir di negeri ini yang mana wang itu akan dimasukkan ke dalam akaun bank ketua keluarga bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan M Yusop berkata, sehingga semalam, pihaknya menerima lebih 30,000 permohonan.

Permohonan mudah kerana hanya memerlukan laporan polis atau pengesahan daripada ketua penduduk.

Menurut beliau, LZS merupakan antara agensi yang terawal menyalurkan bantuan one-off itu selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar segera membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini.

“LZS memahami kesulitan yang dihadapi oleh mereka yang terkesan dengan kejadian banjir baru-baru ini. Oleh itu, LZS telah memperuntukan bantuan zakat menerusi Bantuan Banjir Zakat Selangor dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM20.4 juta termasuk sumbangan RM250,000 menggunakan wang pengurusan amil bagi meringankan beban mereka yang terkesan dengan musibah ini.

“Bantuan ini meliputi LZS Peduli (Bantuan banjir), Peruntukan Wang Pengurusan Amil untuk Pusat Permindahan Sementara, Tabung Kecemasan DaerahBantuan Pasca Banjir (Pembelian kelengkapan keperluan asas), Bantuan Sumbangan Baik Pulih Pasca Banjir (Institusi).

“Kesemua ini adalah sebahagian dari 2.5 peratus zakat penyumbang yang telah diamanahkan kepada kami untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pengiktirafan Muzakki di Wisma PKPS di sini hari ini.

Beberapa buah kenderaan milik penduduk yang musnah akibat dilanda banjir dua hari lepas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2021.

Saipolyazan menambah, LZS turut melihat keperluan mangsa banjir agar mereka boleh memulakan hidup baharu selepas bencana banjir dengan memberi bantuan keperluan asas.

Jelas beliau, bagi keluarga yang layak, ketua keluarga akan menerima antara RM1,000 hingga RM2,000 untuk membeli dapur masak dan tong gas, selain makanan kering yang disalurkan sebelum ini.

Bagi golongan asnaf pula, beliau memberitahu, LZS menyediakan bantuan khas membaiki pulih rumah mengikut kelayakan dan tahap kerosakan yang berlaku.

“Bantuan ini kita memerlukan perincian seperti daripada kejuruteraan dan sebagainya yang dilakukan selepas selesai memberi bantuan one-off RM600 itu.

“Kita dapati banyak masjid dan surau juga terjejas dan memperuntukkan RM50,000 bagi institusi sama ada masjid, sekolah agama dan surau dan dijangkakan jumlah terlibat adalah 150 institusi.

“Selain itu, kami melihat dalam kalangan mangsa yang terjejas banjir yang sebelum ini B40 dan kini fakir miskin.

“Bancian akan dilakukan dan bantuan juga akan diberikan,” katanya. – MalaysiaGazette


Lensa Malaysia Gazette merakam gelagat seorang kanak-kanak bermain seorang diri di kawasan banjir di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2021.