Pengerusi MAIWP, Tan Sri Mohd Daud Bakar bercakap kepada media selepas Program Pengagihan Bakul Makanan dan Beg Sekolah Kasih MAIWP di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 29 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Angaran kira-kira 5,000 asnaf akan dibantu oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk keluar daripada garis kemiskinan bandar pada tahun depan. 

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar berkata, bantuan itu akan disalurkan menerusi beberapa program yang diadakan pada tahun depan.

Beliau turut menjangka program-program membantu golongan asnaf akan melibatkan peruntukan daripada kutipan zakat lebih kurang RM50 juta.

“Kita akan gunakan wnag zakat yang agak besar untuk memastikan asnaf keluar daripada kemiskinan dan menjadi penyumbang zakat pada masa depan.

“Peruntukan sebanyak RM10 juta kerana masih banyak asnaf yang memerlukan bantuan seperti makanan, lampin, perubatan dan produktiviti dan untuk tingkatkan peluang pekerjaan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir di Program Kasih Prihatin – MAIWP yang diadakan di Dewan Komuniti, Sentul Perdana hari ini.

Dalam masa yang sama, MAIWP akan menumpukan usaha membantu mangsa banjir di kawasan-kawasan Wilayah Persekutuan (WP).

Seterusnya kata Mohd Daud, MAIWP  juga akan mengadakan konvokesyen keusahawanan bagi 2222 asnaf yang berjaya dibantu berniaga.

“Ini antara perancangan bagi tahun depan sebab setiap tahun kita akan bantu usahawan dalam pengupayaan diri mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) pula akan membantu lebih kurang 50,000 asnaf di pelbagai negeri menerusi pelbagai program termasuklah pendidikan dan keusahawanan.

Ujar Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali berkata, ia merupakan sasaran yayasan berkenaan untuk sepanjang tahun.

“Tahun depan selepas selesai tiga bulan, fokus kita ialah merakyatkan pendidikan dan mendokong keusahawanan. Dua teras utama ini fokus bantuan asnaf di Wilayah Persekutuan untuk tempoh jangka masa panjang,” katanya.

Program- program berkenaan, kata beliau akan dijayakan dengan kerjasama pihak MAIWP.

Terdahulu beliau berkata, Program Kasih Prihatin -MAIWP berjaya dilaksanakan secara kolaborasi, apabila seramai 35,719 penerima di bawah kategori asmad dan terkesan Covid-19 menikmati manfaat bantuan.

Program berlangsung selama tiga bulan dan mendapat kerjasama penuh badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Kasih Neelofa (PKN), Pertubuhan Pendidikan Kekeluargaan dan Pembangunan Masyarakat (PEDIKMA) dan Pertubuhan Badan Amal Warga Asnaf Malaysia (BAWA).

Turut hadir hari ini, kira-kira 400 penerima asnaf yang juga dalam kalangan anak-anak yang menerima beg sekolah sempena permulaan sesi persekolahan tahun depan.

Turut diadakan, penyerahan replika cek daripada syarikat DXN sempena Misi Khas Prihatin x DXN Pasca Banjir yang berjumlah RM1.56 juta.- MalaysiaGazette