PAID Kuantan dalam usaha mengumpulkan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir bagi dilupuskan.

KUANTAN – Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan dalam usaha mengumpulkan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir bagi tujuan melupuskannya menurut syariat.

Timbalan Kadi, Izzuddin Abd. Mutalib berkata, pihaknya menerima serta mengumpul al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat kitab suci itu daripada orang ramai sepanjang urusan waktu pejabat.

“Ia bertujuan memelihara kemuliaan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci yang mana kita akan lupuskan mengikut tatacara pelupusan mengikut kaedah menepati hukum syarak.

“Kerja-kerja pelupusan akan dilakukan di pusat pelupusan kemudian abunya ditaburkan ke laut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Pelupusan kitab al-Quran menggunakan kaedah relau

Menurut Izzuddin, ketika kejadian banjir awal Januari lalu, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah mengumpul dan melupuskan lebih 15 tan al-Quran rosak di seluruh negeri ini dan proses yang sama dilakukan semasa pasca banjir.

Justeru beliau menyeru orang ramai untuk mengasingkan bahan bercetak ke dalam kotak dan mengikat bahan menggunakan tali serta tidak membalut dengan plastik.

Bahan yang ingin dilupuskan perlu diikat dan diasingkan di dalam kotak

“Mushaf dan bahan bercetak mestilah dalam keadaan kering kerana bahan yang basah tidak diterima. Mushaf Al-Quran perlu diasingkan dan tidak boleh dicampur dengan bahan bacaan lain seperti buku agama, majalah atau bentuk perhiasan.

Tambah beliau, bahan selain mushaf al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci tidak diterima. – MalaysiaGazette