Empat mayat tanpa identiti ditemui terapung di Pulau Buloh, Bagan Datuk, Perak hari ini.

BAGAN DATUK – Empat mayat tanpa identiti ditemui terapung berhampiran Pulau Buloh, Pulau Sembilan di sini, hari ini.

Pusat Operasi Maritim (APMM)  Perak menerima maklumat awal penemuan empat mayat itu pada jam 9.05 pagi oleh komuniti maritim di kedudukan 14.2 batu nautika barat.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, Kapal Maritim (KM) Nyalau yang sedang melaksanakan rutin rondaan Op Tanjung telah diatur gerak ke lokasi sebaik menerima maklumat tersebut.

“Sebaik tiba kita temui empat mayat tanpa sebarang identiti pada jam 2.08 petang.

APMM mengangkat mayat yang ditemui terapung di Pulau Buloh, Bagan Datuk hari ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati empat mayat itu terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat kejadian membabitkan unsur jenayah di laut  berkaitan penemuan kesemua mayat tersebut.

“Siasatan lanjut berhubung penemuan mayat ini akan dilakukan dan sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai orang jatuh laut mahupun permohonan bantuan perubatan di laut berdasarkan penemuan mayat terbabit.

“Mayat berkenaan dibawa ke Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kampung Acheh, Sitiawan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujar Shahrizan. – MalaysiaGazette