Jambatan Air Lanas di Jeli, Kelantan

PASIR MAS – Seorang lelaki berusia 46 tahun menjadi korban keempat banjir yang melanda Kelantan sejak 17 Dis lepas.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, mangsa keempat itu dikenali sebagai Mohd Razi Jaafar yang ditemukan lemas pada pukul 5.30 petang tadi selepas dipercayai terjatuh ke Sungai Lubok Jong dekat Kampung Serongga, di sini.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 3.20 petang tadi daripada abang mangsa yang mengatakan adiknya lemas.

“Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas dan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pengkalan Chepa telah menjumpai mangsa di celah akar pokok di tebing sungai iaitu empat kilometer dari rumahnya.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk proses bedah siasat, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – Bernama