KUALA LUMPUR – Seorang warga emas sanggup mengejar pelakon, Azhan Rani dan kumpulannya yang ke Mentakab baru-baru untuk memberi bantuan.

Berdasarkan video yang dimuat di akaun Instagram Azhan baru-baru ini, keadaan rumah mak cik berkenaan rosak dan dipenuhi selut akibat banjir teruk.

Sejak banjir surut, difahamkan wanita tersebut belum pernah menerima bantuan kerana kedudukan rumahnya yang jauh dari jalan besar.

“Alhamdulillah, nasib mak cik kejar kami. Maafkan kami lambat ye mak cik,” tulis Azhan.

Pelakon itu dan ahli kumpulannya kelihatan mengagihkan bantuan daripada derma orang ramai, termasuk menyerahkan set dapur dan tong gas kepada wanita itu.

Dalam pada itu, Azhan yang mengakui kemampuannya membantu mangsa-mangsa banjir terhad memohon agar pihak bantuan mangsa banjir lain menumpukan perhatian ke Kampung Batu Kapur, Mentakab di Pahang.

“Suasana bagai padang jarak padang tekukur. Mohon team rescue yang lain highlight kan kampung batu kapur bawah mentakab ini. Bawalah seberapa banyak barangan keperluan yang korang rasa logik dan sangat diperlukan.

“Mereka tidur tanpa alas. tilam kami dah habis, selimut pun dah habis. Dapur masak pun tak cukup. Mereka perlukan itu. bantuan belum datang untuk mereka. bantulah. mohon bersama-sama mereka,” tambahnya.

Baru-baru ini, Azhan dilihat giat membantu mangsa banjir menerusi derma yang dikumpulnya daripada orang ramai.

Bermula di Selangor, kini beliau kelihatan membantu mangsa di Mentakab, Pahang. – MalaysiaGazette