Petugas kesihatan memberi suntikan dos penggalak kepada penerima menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 NOVEMBER 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 6.1 juta individu atau 26.1 peratus daripada populasi dewasa negara sudah menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

Menerusi Twitter, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan, daripada jumlah itu hampir 200,000 lagi dos penggalak diberikan semalam, menjadikan yang tertinggi sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak dilaksanakan bermula 13 Oktober lalu.

“Pencapaian harian tertinggi PICK-Booster.

“Pengurangan sela masa dan penambahan PPV walk-in (Pusat Pemberian Vaksin secara terus tanpa janji temu) telah meningkatkan program booster (penggalak),” katanya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai mengambil dos penggalak masing-masing bagi meningkatkan tahap imun badan dalam usaha memerangi penularan Covid-19.

Tambahnya, dos penggalak sangat penting untuk mengekang gelombang varian Omicron.

Menerusi data infografik yang turut dikongsi bersama ciapannya Khairy berkatan, seramai 197,121 individu menerima suntikan dos penggalak, semalam menjadikan jumlah kumulatif mencecah 6,109,673 individu, setakat 11.59 malam tadi.

Selain itu, seramai 22,855,374 individu atau 97.6 peratus populasi dewasa negara lengkap divaksin Covid-19 manakala 23,148,776 (98.9 peratus) individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. – MalaysiaGazette