Denden Gonjales.

KUALA LUMPUR – Penyanyi dari Indonesia, Denden Gonjales, 38, dipilih sebagai penyanyi baharu kumpulan Search dalam projek kolaborasi antara dua negara.

Di Indonesia, penyanyi ini tidak asing lagi kerana pernah bekerjasama dengan penyanyi popular seperti Inka Christie dan Judika.

Malah, Denden juga mencuri tumpuan dunia berikutan aksinya di blind audition program The Voice Bulgaria di mana dia membuat juri terpukau ketika menyanyikan lagu She’s Gone nyanyian asal Steelheart.

Pemain gitar Search, Noordin Mohd Taib berkata, kemampuan Denden menyanyikan lagu bernada tinggi amat sesuai dengan genre muzik Search.

“Search memilih dia kerana suaranya dan dia boleh menyanyikan lagu bernada tinggi dan amat sesuai dengan Search.

“Dengan usia yang masih muda iaitu 38 tahun kami yakin dia boleh membawakan lagu-lagu search dengan baik. Usia yang cukup sesuai untuk kemuncak prestasi,” katanya pada sidang media hari ini.

Selain Noordin dan Kid di posisi gitar serta Denden sebagai penyanyi, Search juga mengumumkan pemuzik berpengalaman luas iaitu Yan sebagai pemain bass mereka.

Yan atau nama sebenarnya, Amran Marsiman bukanlah asing dengan Search.

Dia pernah menganggotai Search menerusi album pertama, Cinta Buatan Malaysia pada 1985.

Selain itu, Yan juga bersama Search dalam album Rampage, Double Trouble (bersama Wings) dan Search 10 Tahun.

Search juga mengorak langkah dengan membuka kedai Search Rock Station di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur.

Noordin berkata, Yan bersetuju untuk menyertai Search kerana keserasian bersama kumpulan itu.

“Yan memang serasi dengan Search. Dia sudah bermain dalam banyak konsert Search termasuk ketika Search membuat persembahan di New Music Seminar di New York, Amerika Syarikat pada 1991,” katanya.

Selain itu, Search mengekalkan khidmat Pae sebagai pemain dram.

Sebelum ini Pae adalah pemain dram undangan bagi menggantikan Allahyarham Yazit Ahmad ketika beliau mula mengalami masalah kesihatan beberapa tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Search juga mengorak langkah dengan membuka kedai Search Rock Station di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur yang mula beroperasi hari ini.

Noordin berkata, Search Rock Station adalah kedai yang menjual barangan cenderahati rasmi Search seperti t-shirt, kasut, topi dan macam-macam lagi.

“Ia juga menjual alat muzik seperti gitar serta menawarkan proses jual beli gitar di situ. Ada juga gitar milik saya dan Kid yang diletakkan di situ sebagai pameran.

“Ini termasuk pelbagai barangan koleksi peribadi saya dan Kid yang turut dijual dan dipamerkan,” katanya.

Dalam masa sama, Search turut melancarkan laman web rasmi mereka iaitu www.fenomenasearch.com dimana Laman web tersebut di jadikan  platform rasmi Search dan segala pengumuman, agenda, perjalanan Search, koleksi jualan Search dan berita -berita mutakhir akan dimuat naik di situ dalam waktu sama ianya juga adalah laluan penghubung untuk segala urusniaga secara rasmi.

Search juga dalam proses penyiapan akaun media sosial seperti Instagram, Facebook dan youtube rasmi mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast