Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan merancakkan pemulihan ekonomi dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang telah diumumkan di dalam dokumen RMK-12 dan Bajet 2022.

Ia untuk memastikan ketahanan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara tumpuan utama Kerajaan pada tahun 2022 adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 600, 000 peluang pekerjaan baharu di samping pemulihan segera sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Tahun 2022 juga adalah tahun untuk Malaysia kembali ke landasan bagi menetapkan pelan ekonomi negara jangka masa panjang.

“Beberapa tema mustahak perlu digerakkan pada tahun 2022. Antaranya ialah pemerkasaan ekonomi digital sejajar dengan tuntutan realiti semasa.

“Atas kesedaran sama tentang perlunya mengadaptasi kepada
keperluan kini dan masa depan, Malaysia juga telah memberikan komitmen bagi mencapai status carbonneutral nation pada tahun 2050,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2022 malam ini.

Sebelum itu, Perdana Menteri berkata, jumlah perdagangan mencecah RM2 trillion selepas berkembang 24.6 peratus bagi tempoh Januari hingga November lalu berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Menurutnya,Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia turut meningkat sebanyak 3.0 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2021.

“Sebagai indikator kepada kerancakan ekonomi di peringkat kepenggunaan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit juga merekodkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus kepada RM116.4 bilion pada Oktober 2021,” katanya.

Beliau menambah, kadar pengangguran sudah mula beransur pulih kepada 4.3 peratus pada Oktober 2021 berbanding kemuncak 5.3 peratus pada Mei 2020.

Angka terbaru itu juga lebih rendah daripada dua bulan sebelumnya.

“Angka pelaburan sering menjadi antara petunjuk popular keyakinan komuniti perniagaan terhadap keutuhan ekonomi sesebuah negara.

“Di sini, Malaysia mencatatkan perkembangan positif RM12.8 bilion pelaburan langsung asing (FDI) bersih pada suku ketiga 2021 berbanding RM8.2 bilion pada suku kedua iaitu peningkatan sebanyak 56 peratus.

“Ini menjadikan jumlah FDI bersih bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sebanyak lebih RM30 bilion.

“Saya juga yakin, dengan momentum pertumbuhan ekonomi negara dijangka berterusan pada tahun 2022 dengan kadar pertumbuhan KDNK yang diunjurkan berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus seiring dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada ena peratus dan Bank Dunia pada 5.8 peratus.

Kerajaan juga, katanya, akan merancakkan pemulihan ekonomi dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang telah diumumkan di dalam dokumen RMK-12 dan Bajet 2022 untuk memastikan ketahanan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.- MalaysiaGazette