bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR –  Bursa Malaysia dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan dengan indeks komposit diunjur kekal tidak menentu berikutan ketidakpastian berhubung impak varian baharu COVID-19, Omicron, kata seorang peniaga.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata,  dari segi petunjuk teknikal, indeks itu dilihat berada dalam keadaan neutral.

“Memandangkan sebahagian besar daripada peniaga kemungkinan masih lagi bercuti akhir tahun, indeks itu dijangka berada dalam dagangan jajaran kecil antara paras 1,560.0 hingga 1,570.0 mata pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata indeks petunjuk pasaran diniagakan tidak menentu pada Jumaat, seiring dengan prestasi pasaran global.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd  Thong Pak Leng berkata firma itu menjangka aktiviti membeli saham berharga rendah berterusan memandangkan sentimen pasaran yang bertambah baik.

“Kami menjangkakan indeks itu diniagakan dalam jajaran 1,565 hingga 1,575 pada minggu depan. Bagi tahun 2022 kami optimis dalam berhati-hati tentang pasaran ekuiti tempatan.

“Kami menjangkakan pelabur institusi tempatan kembali ke pasaran memandangkan penilaian murah terhadap pasaran tempatan, “ katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI melonjak 51.08 mata untuk ditutup pada minggu yang baru berakhir ini kepada 1,567.53 daripada 1,516.45 sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 313.8 mata kepada 11,308.79, Indeks FBMT100 naik 313.42 mata kepada 11,015.13, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 460.24 mata kepada 12,263.10,  FBM ACE menokok 179.48 mata kepada 6,419.60 dan FBM 70 menambah 206.54 mata kepada 14,209.95.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 143.02 mata kepada 15,565.64, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 5.17 mata kepada 202.71 dan Indeks Penjagaan Kesihatan menokok 137.57 mata kepada 2,336.32.

Indeks Tenaga menambah 19.55 mata kepada 703.87, Indeks Teknologi naik 1.72 mata kepada 96.61 dan Indeks Perladangan menokok 63.60 mata kepada 6,552.11.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 11.53 billon unit bernilai RM8.21 bilion berbanding 11.92 bilion unit bernilai RM7.28 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 6.52 bilion saham bernilai RM7.18 bilion daripada 6.99 bilion saham bernilai RM6.28 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran susut kepada 776.02 juta unit bernilai RM98.11 juta berbanding 908.21 juta unit bernilai RM124.28 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 4.18 bilion saham bernilai RM907.35 juta daripada 3.71 bilion saham bernilai RM871 juta pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast