Gambar hiasan. foto FAREEZ FADZIL, 18 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Segelintir peniaga dan pengguna mempersoalkan mengapa masih terdapat pembekal yang menaikkan harga sesuka hati walaupun ketika Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sedang berkuatkuasa.

Tinjauan MalaysiaGazette di sebuah pasar di ibu negara negara mendapati, ayam standard kini dijual pada harga RM9.10 bagi satu kilogram (kg) berbanding RM9.30 sebelum ini dan sawi hijau pada harga RM6.50.

Manakala harga telur bagi gred A pula adalah 43 sen sebiji, gred B (41 sen) dan gred C (39 sen).

Namun terdapat peniaga sayur yang enggan menanggung risiko kerugian dengan menjual kacang panjang berikutan harga terlalu tinggi dijual di pasar borong.

Difahamkan, harga kacang panjang yang dibeli daripada pemborong boleh mencecah antara RM8 sehingga RM8.50 dan harga jualan yang ditetapkan pula kira-kira RM6.50.

Menurut seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Rishi, 37, dia merasa lega kerana kerajaan telah menetapkan harga siling bagi ayam standard iaitu RM9.10 sekilogram bermula hari ini.

Rishi

“Harga kawalan itu okay, kami setuju cuma kawalan hanya diberikan kepada penjual, pembekal ayam pula bagaimana? Macam mana dengan mereka (pembekal), ada tak harga dikawal di sana sebab kita tak beli terus dengan pembekal tapi kita beli dengan peniaga.

“Saya dah lama datang ke sini dan tidak pernah bertanya kepada abang ini (peniaga) berapa harga sekilogram, saya hanya beritahu apa yang saya perlukan dan dia akan sediakan kerana saya percaya dengan peniaga ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Ujar Rishi, sekiranya harga kawalan telah dikuatkuasakan oleh kerajaan maka ia perlu dilaksanakan dengan lebih adil iaitu situasi menang-menang kepada semua pihak.

“Saya kurang faham mengapa harga kawalan hanya dikenakan ke atas peniaga sahaja dan bukan pembekal ayam? Kalau pembekal juga dikenakan harga kawalan jadi peniaga pun akan senang, rakyat pun tidak tengking mereka kerana selama ini rakyat fikir mereka (peniaga) yang sengaja naikkan dan turunkan harga,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga ayam yang enggan dikenali memberitahu, dia tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa mengambil bekalan ayam daripada pembekal yang sama walaupun mereka tidak menurunkan harga.

“Mereka bekal ayam dengan harga RM8.10 walhal patutnya kena kurang juga sekurang-kurangnya 20 sen sama seperti kami yang jual pada harga kawalan iaitu RM9.10.

“Apa boleh buat mereka kata kalau mahal jangan ambil (ayam) dengan mereka tapi saya tiada pilihan terpaksa juga kerana hanya ini sumber pendapatan saya iaitu berniaga,” katanya dalam nada kecewa.

Manakala seorang peniaga sayur dikenali sebagai Ah Yen berkata, dia mengambil keputusan untuk tidak menjual kacang panjang berikutan harga di pasar borong yang tidak masuk akal.

Ah Yen

Jelas Ah Yen, dia tidak mempunyai masalah dengan skim kawalan harga yang diperkenalkan oleh kerajaan kerana keutamaannya dalam berniaga adalah pelanggan.

“Harga yang ditetapkan itu tidak ada masalah, tak untung pun tak apa janji pelanggan dapat makan. Tapi jangan lah sampai saya kena tanggung rugi terlalu banyak.

“Macam kacang panjang ia dijual terlalu mahal di pasar borong iaitu di antara RM7 sehingga RM8 namun harga kawalan pula adalah RM6.50, bagaimana saya hendak jual?,” soalnya.

Turut senada, peniaga, Sukri Sepein, 59, bersetuju sekiranya pihak yang berkaitan dapat mengawal harga sayur-sayuran yang dibawa dari ladang.

Sukri Sepein

Ini kerana, harga sayur-sayuran yang dijual di pasaran dipengaruhi oleh faktor cuaca di negara ini, katanya.

“Kalau musim tengkujuh seperti sekarang ini memang harga sayur akan naik berikutan cuaca hujan dan (mungkin) tempat menanam terkena banjir, jadi sayur akan rosak dan pengusaha sayur ini mereka hendak tanggung kerugian terpaksa lah naikkan harga.

“Sayur ini tidak sama seperti barang runcit kerana barang runcit akan naik jika harga minyak naik, ia berbeza dengan sayur yang dipengaruhi dengan musim kemarau atau tengkujuh,” ujarnya yang sudah lebih 10 tahun berniaga di pasar itu.

Bagi Lina Hisham, 48, sebagai seorang pengguna dia dapat merasai sedikit perbezaan harga melibatkan beberapa barangan yang dijual selepas kerajaan menguatkuasakan SHMKM.

Lina Hisham

“Kita tahu sebelum ini memang ada barangan yang naik mendadak dan kita pun tidak pasti mengapa tapi sekarang ada lah turun sedikit dan kita sebagai pengguna pun tidak lah begitu terbeban.

“Bila dikurangkan sedikit memang rasa bersyukur misalnya ayam tetapi harga ikan pula melambung naik,” ujarnya.

Semalam media melaporkan, bermula hari ini sehingga 4 Februari depan, empat barangan keperluan iaitu ayam, telur ayam, kacang panjang dan sawi akan mengalami penurunan harga di seluruh negara.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, empat barangan berkenaan adalah sebahagian daripada 12 jenis barangan yang termaktub di bawah SHMKM yang terlibat dalam pelarasan harga semula. – MalaysiaGazette