United Airlines. foto Getty Images

NEW YORK- Lebih 2,000 penerbangan telah dibatalkan Tahun Baharu ekoran penularan varian Omicron Covid-19 yang terus mengekang operasi syarikat penerbangan semasa musim cuti di Amerika Syarikat.

Laman sesawang penjejak penerbangan, FlightAware menunjukkan sebanyak 2,311 penerbangan masuk, keluar atau dalam Amerika Syarikat telah dibatalkan setakat 7:30 pagi ET pada hari Sabtu dan 424 penerbangan lagi ditangguhkan.

Bahagian barat daya menyaksikan paling banyak jadual syarikat penerbangan utama Amerika Syarikat dibatalkan iaitu 457 setakat 7:30 pagi ET.

Sementara itu, hampir 190 penerbangan American Airlines dibatalkan sebagai tambahan kepada 180 penerbangan Delta dan 142 penerbangan United.

JetBlue pula merekodkan 118 penerbangan yang dibatalkan dan Spirit melibatkan 91 penerbangan.

“Gangguan berterusan sepanjang minggu cuti, menyebabkan pelancong yang hendak bercuti terkandas di lapangan terbang di seluruh negara,” lapor Fox Business.

Syarikat penerbangan utama seperti Delta, United dan JetBlue semuanya menyalahkan varian Omicron yang menyebabkan masalah kakitangan yang akhirnya membawa kepada pembatalan penerbangan, menurut laporan itu.

Syarikat-syarikat penerbangan mengalami kekurangan pekerja disebabkan dijangkiti Covid-19, tidak kurang pula terpaksa menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat.

Awal minggu ini, jurucakap United menyatakan pihaknya tidak jelas bila operasi akan kembali normal.

Kelewatan dan pembatalan penerbangan yang dikaitkan dengan kekurangan kakitangan telah menjadi masalah biasa bagi industri penerbangan AS sepanjang tahun lalu.

Gangguan terbaharu berlaku pada masa Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) mengunjurkan jumlah perjalanan akan menghampiri tahap pra-pandemik. – Agensi