Datuk Khairul Fais Anuar (tengah) bersama ahli PEKATA Malaysia menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Taman Inderapura, Kuantan hari ini.

KUANTAN – Prihatin dengan nasib penduduk Taman Inderapura di sini yang menjadi mangsa banjir, Pertubuhan Ehwal Kebajikan Tanah Air (PEKATA) Malaysia menghulurkan bantuan hari ini.

Ia sebahagian daripada usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari PEKATA Malaysia yang menggerakkan jentera serta ahli sukarelawan dalam misi bantuan pasca banjir.

Pengasas dan Penaung PEKATA Malaysia, Lt. Kol Bersekutu (PA) Datuk Khairul Fais Anuar berkata, bantuan disalurkan di kawasan taman perumahan itu berpandukan maklumat yang dikongsikan kenalan dan saudara-mara yang menetap di sekitar daerah ini.

Datuk Khairul Fais Anuar (dua dari kanan) bersama ahli PEKATA Malaysia menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Taman Inderapura, Kuantan hari ini.

Menurutnya, kira-kira 50 ahli gabungan NGO tersebut berjaya mengumpulkan pelbagai barangan keperluan asas termasuk perkakas elektrik untuk diagihkan kepada penduduk taman berkenaan.

Penyumbang terbesar mereka daripada PTA First Electrical dan KKG Mart.

“Setiap ahli gabungan PEKATA Malaysia berjaya menyediakan barangan diperlukan penduduk membabitkan peruntukan lebih RM50,000 bagi misi fasa pertama.

“Semua hasil sumbangan ahli gabungan ini akan diagihkan kepada penduduk dan saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam misi kali ini.

“Kita cuba berikan bantuan kepada seberapa ramai penduduk terjejas banjir di Kuantan dan sebagai permulaan, kita tumpukan dulu di sini sebelum misi fasa seterusnya,” katanya hari ini.- MalaysiaGazette