Seorang lelaki memakai pelitup muka yang diwajibkan oleh Kerajaan Perancis ketika berada berhampiran sebuah kafe di tepi Sungai Seine. foto AP

PARIS – Perancis menjadi negara keenam di dunia yang melaporkan lebih 10 juta jangkitan Covid-19 sejak penularan wabak itu, menurut data rasmi yang diterbitkan pada Sabtu.

Pihak berkuasa kesihatan Perancis melaporkan 219,126 kes baharu disahkan dalam tempoh 24 jam, hari keempat berturut-turut negara itu merekodkan lebih 200,000 kes.

Perancis menyertai Amerika Syarikat (AS), India, Brazil, Britain dan Rusia yang mempunyai lebih 10 juta kes.

Angka hari Sabtu adalah yang kedua tertinggi selepas merekodkan sebanyak 232,200 pada hari Jumaat apabila Presiden Perancis, Emmanuel Macron memberi amaran bahawa negara itu berdepan keadaan sukar dalam beberapa minggu akan datang.

Dalam ucapan pada malam Tahun Baru 2022, Macron tidak menyebut tentang pelaksanaan sekatan yang lebih ketat daripada apa yang telah diumumkan.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan tidak perlu mengehadkan kebebasan individu.

Cuma, mulai hari Isnin, orang awam perlu memakai pelitup muka ketika berada di kawasan awam dan peraturan tersebut diwajibkan kepada kanak-kanak seawal usia enam tahun berbanding 11 tahun sebelumnya.

Dan beberapa bandar besar, termasuk Paris dan Lyon, telah mengenakan semula pemakaian pelitup muka kepada semua orang.

Purata pergerakan tujuh hari kes baharu di Perancis meningkat kepada paras tertinggi sepanjang masa iaitu 157,651 – melonjak hampir lima kali ganda dalam sebulan.

Bilangan individu yang dimasukkan ke hospital akibat Covid-19 telah meningkat sebanyak 96 dalam tempoh 24 jam, dengan kemuncak lebih tujuh bulan iaitu 18,811. Tetapi angka itu masih hampir separuh daripada rekod 33,497 yang dicapai pada November 2020.

Jumlah kematian Covid-19 meningkat sebanyak 110 dalam tempoh 24 jam kepada 123,851, yang ke-12 tertinggi di dunia.

Purata pergerakan tujuh hari kematian harian baharu telah mencecah 186, tertinggi sejak 14 Mei. – Reuters