Polis di Ghaizabad, Uttar pradesh India berjaya menyerbu dan menumpaskan satu sindiket mengilang senjata api haram dengan merampas 52 senjata pistol yang ditempah pelanggan di pasaran gelap dalam serbuan di sebalik bangunan terbiar di kawasan pedalaman pada Sabtu,-Gambar Indiatoday,in

UTTAR PRADESH (INDIA) – Polis Ghaziabad berjaya menumpaskan sindiket terbesar terlibat dalam kegiatan pengeluaran dan penjualan senjata api secara haram di sebalik sebuah bangunan binaan terbengkalai lama semalam.

Ia merupakan sebahagian usaha pihak berkuasa negara itu memerangi penjualan senjata haram.

Sindiket itu ditumpaskan oleh serbuan daripada Kumpulan Gerak Khas dan Polis Bhojpur diketuai Inspektor Munesh Singh.

Sindiket pengeluar senjata api haram itu aktif di sebuah bangunan separuh binaan yang terbiar lama di jalan yang menghubungkan dua wilayah pedalaman berhampiran Kampung Patti dan Machri.

Bertindak atas maklumat, pasukan polis melakukan serbuan di bangunan terbiar sindiket senjata haram berselindung itu pada lewat malam Jumaat dan Sabtu.

Pasukan Gerakan Khas Ghaizabad India berjaya menumpaskan sindiket pengeluar dan penjualan senjata api haram yang bersembunyi di sebalik sebuah bangunan binaan terbengkalai di kawasan pedalaman di Kampung Patti dalam serbuan pada tengah malam Jumaat.- Gambar Indiatoday.in.

Hasil serbuan polis berjaya merampas 52 senjata api dari kilang haram itu manakala seorang lelaki dikenali sebagai Subhash Khateek disyaki dalang utama sindiket itu diberkas.

Suspek turut mendedahkan senarai nama pembeli yang menempah senjata haram berkenaan, kata Superintendan Polis Luar Bandar, Iraj Raja.

Berdasarkan maklumat suspek, polis kini melancarkan operasi menangkap pembeli senjata haram itu menggunakan senarai nama yang didedahkan.

“Kami berjaya memperoleh senarai nama pembeli yang menempah senjata haram daripada sindiket berkenaan dan kami sedang memburu mereka habis-habisan serta yakin akan menumpaskan sepenuhnya sindiket ini,” ujarnya.-Indiatoday.in.