Artis, Lufya Omar

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon, Lufya Omar, 36, mengaku pernah melakukan pembedahan bariatrik demi kepentingan kesihatannya.

Beliau berkata, melakukan pembedahan bariatrik atau potong usus bukan mahu cantik demi memikat jodoh, sebaliknya, mengawal tahap kolesterol dan penyakit asma yang dialami.

Menurut Lufya, tidak perlu wujud perasaan malu untuk membuat pengakuan tersebut kerana percaya sebarang perkongsian yang baik akan mendatangkan manfaat kepada masyarakat.

“Apabila sudah sihat dan dapat menurunkan berat badan dengan cara pembedahan, saya lebih positif.

“Saya tahu, sesetengah artis dan selebriti yang melakukan proses ini ada kepentingan dan cara mereka sendiri. Ada yang tak berani nak beritahu kepada umum.

“Mungkin mereka ada masalah kesihatan tapi tak nak kongsikan sebab rasa malu. Saya pula jenis yang suka berkongsi. Dulu, keluarga pun tak setuju, tapi ini adalah perjalanan diri saya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pada majlis minum petang bersama Pakar Bedah Bariatrik terbaik Asia Pasifik, Dr. Mustafa Mohammed Taher di sebuah restoran di ibu kota, kelmarin.

Menceritakan pengalamannya itu, Lufya berkata, dia membuat pembedahan tersebut pada awal November tahun lepas setelah menemui kegagalan dengan pelbagai cara dan usaha terdahulu yang dilakukan bagi menurunkan berat badan.

Bagaimanapun katanya, fokus dia membuat pembedahan itu bukan kerana mahu tampil kurus, sebaliknya, mengambil berat tentang keadaan kesihatannya yang mula perlahan-lahan menunjukkan petanda kurang sihat.

“Selepas sebulan, pembedahan ini berjaya menurunkan 11 kilogram (kg), daripada 85 kg, kini, berat saya 74 kg.

“Dahulu, diet dan bersenam selama enam bulan hanya turun 2 kg sahaja.

“Kini, saya mahu turun berat badan 10 kg untuk capai berat badan seimbang,” ujarnya.

Menurut Lufya lagi, dia tidak sedar berat badannya naik mendadak ketika pandemik Covid-19.

Lufya Omar

Dalam pada itu, bekas peserta program Akademi Fantasia musim ke-6 (AF6) ini menolak andaian bahawa dia terdesak untuk menguruskan badan kerana mahu berkahwin.

Jelasnya, meskipun sudah lebih setahun hidup menjanda, perkahwinan bukanlah perkara yang menjadi keutamaannya pada waktu ini memandangkan fokus tetap kepada anak tunggalnya, Laana Haura.

“Tak adalah, saya memang buat untuk kesihatan.Bukan sebab nak kahwin atau apa. Nak rasa lebih positif sebab tak ada perempuan yang suka bila dirinya terasa murung apabila mengenangkan sesuatu yang tidak menggembirakan dirinya.

“Soal jodoh, kalau dulu saya mungkin sekat, tapi sekarang diri lebih terbuka. Kalau Allah SWT bagi saya jodoh, InsyaAllah saya terima. Cuma ia tidaklah jadi keutamaan sekarang,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast