Warga Australia memakai pelitup muka apabila berada di luar rumah. foto EPA

SYDNEY – Kes Covid-19 Australia mencecah paras tertinggi baru pada hari Selasa di tengah-tengah lonjakan Omicron di dua negeri yang paling ramai penduduknya apabila kemasukan ke hospital di New South Wales (NSW), melepasi rekod wabak Delta.

NSW dan Victoria, yang menempatkan lebih separuh daripada 25 juta penduduk Australia, menyaksikan satu lagi peningkatan jangkitan, dengan 37,151 kes baharu, menghampiri paras tertinggi sehari nasional iaitu 37,212 sehari sebelumnya.

Tasmania melaporkan 702 kes baharu.

Individu yang dimasukkan ke hospital NSW meningkat kepada 1,344, puncak pandemik baharu, mengatasi 1,266 yang dicapai September lalu semasa gelombang Delta.

Bilangan meningkat lebih daripada dua kali ganda dalam seminggu, mencetuskan kebimbangan dalam sistem kesihatan.

Pihak berkuasa juga sedang menghadapi kekurangan ujian antigen pantas, kelewatan keputusan PCR dan penutupan mendadak beberapa lokasi pusat ujian.

“Masalahnya pada masa ini ialah kekurangan (kit ujian antigen pantas) benar-benar menghalang tanggungjawab peribadi dan ia menjadi kekecewaan ketara dalam pengurusan Covid-19 semasa.

“Anda mempunyai banyak pesakit dan juga kakitangan yang diberhentikan pada masa yang sama,” kata Chris Moy, Naib Presiden Persatuan Perubatan Australia kepada ABC Radio.

Ketua Pegawai Perubatan New South Wales, Kerry Chant menggesa orang ramai supaya tidak mendapatkan rawatan hospital melainkan benar-benar perlu.

“Adalah penting kita semua memainkan peranan untuk tidak meletakkan beban yang tidak perlu kepada sistem kesihatan,” katanya. – Agensi