Ketua Polis Daerah Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong . Foto AFFAN FAUZI, 25 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita dan teman lelakinya akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang esok kerana didakwa mendera seorang kanak-kanak berusia tiga tahun sehingga mati pada 24 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek wanita yang merupakan ibu kandung mangsa berusia 26 tahun dan lelaki berumur 28 tahun itu akan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kertas siasatan polis ke atas pasangan itu dilengkapkan dan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum diberi kelulusan untuk menuduh kedua suspek muda itu di Mahkamah Majistret Klang pada pagi esok (Rabu),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Pada 28 Disember lalu, Hoong Fong, mengesahkan tangkapan dilakukan ke atas pasangan itu selepas mereka disyaki mendera budak lelaki berusia tiga tahun sehingga meninggal dunia.

Katanya, IPD Klang Selatan telah menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bahawa mangsa telah dihantar ke hospital itu dalam keadaan tidak sedar diri pada jam 6.20 petang 24 Disember lalu.

“Mangsa difahamkan dihantar oleh ibunya sendiri ke hospital berkenaan.

“Namun, pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu sudah meninggal dunia dan pemeriksaan lanjut pegawai perubatan telah menemui kesan lebam pada keseluruhan badan mangsa,” katanya.

Bertindak atas maklumat itu, pada 25 Disember lalu Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan membuat tangkapan dua individu serta seorang lelaki dipercayai teman wanita berkenaan.

Hoong Fong berkata, siasatan mendapati terdapat kesan lebam pada keseluruhan badan mangsa, disyaki didera serta dipukul dengan menggunakan kayu, tali pinggang serta penyangkut baju sehingga maut.

Pasangan kekasih itu kemudian direman enam hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 30 Disember lalu sebelum disambung reman bagi melengkapkan kertas siasatan. – MalaysiaGazette