Jualan Perodua pada bulan Disember meningkat 11.5% kepada 22,940 unit daripada 20,299 kenderaan pada November 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jualan Perodua pada bulan Disember lalu meningkat 11.5% kepada 22,940 unit daripada 20,299 kenderaan pada November 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua mencatatkan 190,291 kenderaan pada 2021, turun 29.8% daripada 220,154 unit yang dijual pada 2020 kesan Covid-19, gangguan bekalan cip semikonduktor dan banjir baru-baru ini yang memberi kesan buruk kepada pengeluaran.

“Pendaftaran sebanyak 190,291 adalah di bawah sasaran kami iaitu 200,000 unit untuk 2021 kerana cabaran pada 2021 adalah lebih besar daripada yang dijangkakan,” katanya.

Walaupun begitu, Myvi terus menerajui keseluruhan pasaran Malaysia dari segi jualan mengikut model dengan 47,525 unit diikuti Axia dan Bezza yang menguasai pasaran segmen A.

Mengenai gambaran keseluruhan industri, Zainal berkata jumlah volum industri (TIV) bagi tahun itu juga akan menyaksikan impak jualan yang sama dengan anggaran penurunan sebanyak 23.6% kepada 504,536 unit daripada 528,172 unit yang dijual pada tahun 2020.

“Biarpun prestasi yang lebih rendah daripada jangkaan untuk 2021, tindak balas kami untuk kesan Covid-19 telah terbukti berjaya setakat ini kerana berjaya menangani gangguan pengeluaran,” ujarnya.

Zainal berkata, Perodua mungkin akan menyemak semula unjuran jualan pada tahun 2022 yang disasarkan sebanyak 240,000 susulan perkembangan semasa.

Mengenai program Bantuan Banjir Perodua, Zainal berkata kira-kira 1,675 orang telah memberi respons kepada program tersebut dan kenderaan tersebut sedang diperiksa di pusat servis Perodua di seluruh negara.

“Keutamaan kami sekarang ialah bekerjasama dengan syarikat insurans serta rakan kongsi kami yang lain untuk mempercepatkan sebarang proses kelulusan yang diperlukan untuk membaiki dan memulihkan kenderaan yang rosak akibat banjir,” katanya. – MalaysiaGazette