Penduduk ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat kediaman mereka terjejas teruk akibat banjir yang berlaku pada Jumaat lalu di SRA Bukit Changgang, Banting, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL.

BANTING – Penduduk Kampung Bukit Changgang di sini yang kediaman mereka terjejas teruk akibat banjir lebih dua minggu lalu kini boleh menarik nafas lega selepas menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI).

Kesemua penduduk yang ditemui masing-masing melahirkan rasa syukur dengan bantuan daripada kerajaan terutama bagi memulakan semula kehidupan selepas fasa bencana alam yang begitu menyukarkan.

Ada juga dalam kalangan penerima mengalirkan air mata kerana benar-benar menghargai bantuan yang disalurkan pada saat mereka amat memerlukannya.

Seorang pekerja swasta, Ahmadi Haron, 43, menyifatkan banjir yang melanda baru-baru ini sebagai bencana terburuk yang pernah dihadapi olehnya.

Ahmadi Haron

Menurutnya, keluarganya juga merupakan antara mangsa yang paling akhir diselamatkan dan dibawa keluar dari kawasan tersebut yang sudah 100 peratus ditenggelami air pada 20 Disember lalu.

“Alhamdulilah, saya bersyukur kerana menerima bantuan ini, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban selepas dilanda banjir.

“Terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana menyalurkan bantuan berbentuk kewangan sebanyak RM1,000 kepada semua yang terkesan dengan banjir,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Bapa kepada empat anak itu memaklumkan, setakat ini dia masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk membaiki rumah atau membeli perabot baharu kerana khuatir musibah yang sama berlaku lagi.

“Sekarang ini pun masih musim hujan jadi kami hanya bersiap sedia sekiranya banjir berlaku sekali lagi untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat.

“Saya juga tidak merancang untuk beli atau baiki apa-apa barang rumah, mungkin sekadar barang makanan dan keperluan anak-anak sahaja,” katanya.

Manakala Insafila Waslan, 51, pula berkata, BWI  amat bermakna baginya sekeluarga yang tinggal sehelai sepinggang ketika berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang selepas rumah yang diduduki ditenggelami air.

Insafila Waslan

“Rasa terharu sangat, sekurang-kurangnya dapat membantu mangsa banjir seperti kami, pada mulanya macam-macam fikir, mana nak cari duit dan sebagainya.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana membantu kami rakyat Malaysia yang sedang ditimpa musibah. Wang yang diterima akan digunakan sebaiknya untuk beli apa yang patut dan juga perbelanjaan untuk keluarga,” ujarnya.

Bagi seorang suri rumah, Nurul Haryani Mohd Sani, 28, bantuan dalam bentuk wang tunai sememangnya diperlukan oleh individu yang terkesan akibat bencana banjir.

Nurul Haryani Mohd Sani

Jelas Nurul Haryani, pada mulanya, dia dan suami merasa buntu memikirkan cara untuk mencari wang tambahan bagi membaiki kenderaan mereka yang hampir rosak selepas ditenggelami air.

“Lega sangat lepas terima bantuan sebab barang pun banyak rosak, kereta pun tenggelam. Bagi saya, kenderaan memang amat penting sebab membantu untuk kita bergerak ke sana sini, bila dapat BWI boleh sedikit sebanyak mengurangkan beban kami.

“Perancangan lain juga banyak tapi apa pun saya dan suami memang utamakan kereta dahulu, selain itu untuk beli lampin dan susu untuk anak,” ujar ibu kepada tiga cahaya mata berusia setahun hingga enam tahun itu.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Suzita Simin, 50, sedih kerana masih terkenang keadaan rumahnya yang terjejas teruk selepas banjir mulai surut tempoh hari.

Suzita Simin

Menurutnya, walaupun banyak perabot dan peralatan rumah yang perlu diganti baharu namun dia lebih memilih untuk membantu anak serta cucu-cucunya.

“Syukur dengan bantuan diberikan, dapat juga saya baiki apa yang rosak dan hilang kerana keadaan rumah memang sangat teruk jadi bila kerajaan pusat salur bantuan memang terharu.

“Anak-anak semuanya sudah besar dan cucu pula akan masuk sekolah tak lama lagi tapi baju dan buku mereka habis hancur dalam banjir. Jadi dengan wang ini dapat lah juga saya bantu mereka apa yang patut,” ujarnya.

Tambah Suzita lagi, keenam-enam adik-beradiknya turut ditimpa nasib sama kerana mereka menetap di kawasan yang berhampiran.

Seorang penjawat awam, Sazali Saring, 37, berterima kasih kepada kerajaan kerana amat memahami keperluan rakyat di waktu-waktu getir sebegini.

Sazali Saring

Sazali akan memanfaatkan sebaiknya wang yang diterima itu sebagai persediaan sekiranya terhadap berhadapan dengan kejadian serupa selepas ini.

“Terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana membantu rakyat Malaysia yang sedang ditimpa musibah, sekurang-kurangnya dapat lah membantu kami memulakan semula kehidupan,” katanya.

Terdahulu kerajaan mengumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia antaranya meliputi BWI sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah berbanding RM500 sebelum ini.

Bayaran bantuan berkenaan telah disalurkan sejak 27 Disember lepas iaitu 10 hari selepas kejadian banjir yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Dalam perutusan Tahun Baharu 2022 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan tersebut akan memanfaatkan lebih 45,000 ketua isi rumah. – MalaysiaGazette