PETALING JAYA – Pengarah Tenikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu, Scott O’Donell berpendapat skuad kebangsaan negara perlu dilatih oleh jurulatih luar.
Pengendali kelahiran Australia itu berkata, idea itu telah dicadangkan kepada pengurusan FAM selepas Tan Cheng Hoe melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih kebangsaan baru-baru ini.
“Saya melihat bahawa skuad Harimau Malaya selepas ini perlu dibimbing oleh jurulatih asing bagi mengubah landskap dan masa depan bola sepak Malaysia ke satu dimensi baharu, bukan hanya untuk jangka masa pendek tetapi jangka masa panjang,” jelasnya.
Dia berkata demikian pada sidang media pelantikannya bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Ong Kim Swee yang telah meletak jawatan tersebut pada 10 September lalu.
Dia yang juga bekas pemain profesional dari Australia telah menandatangi kontrak selama tiga tahun bersama FAM.
Mengulas lanjut, O’Donnel berkata, Harimau Malaya tidak akan mengadakan perlawanan persahabatan dalam tempoh kalendar yang dibuka Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melibatkan zon Asia bermula 25 Januari hingga 1 Febuari depan.
Jelasnya, ia berikutan dia baru sahaja melaporkan diri dalam badan induk bola sepak negara itu, sukar untuk pihaknya mengatur aksi antarabangsa dalam masa terdekat.
“Buat masa ini tiada lagi perancangan untuk mengatur aksi antarabangsa melibatkan skuad Harimau Malaya pada kalendar antarabangsa FIFA pada Januari ini.
“Situasi ini berikutan pasukan Liga Malaysia (Liga M) sedang giat menjalankan sesi latihan pramusim dan tidak wajar untuk kami merencat momentum tersebut,” katanya.