Najib Razak

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Lim Kit Siang begitu obses menyerang Tan Sri Azam Baki berhubung pemilikan saham bernilai RM600,000.

Sedangkan, isu-isu lain berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kit Siang tidak pernah ambil tahu.

Kes-kes yang Penasihat DAP tidak mahu tahu itu, dakwa Najib termasuk saksi utama SPRM berhubung kes rasuah Lim Guan Eng yang merupakan taikun syarikat disenarai tiba-tiba jatuh 17 tingkat sebulan sebelum dia dijadualkan untuk memberi keterangan dalam mahkamah.

Kata Najib, Kit Siang senyap berhubung kes ini.

Kit Siang juga didakwa ‘bisu’ berhubung kenyataan SPRM bahawa baki dana sebanyak RM65 juta (daripada jumlah dipercayai hampir RM700 juta) dibayar Jho Low dalam akaun suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia telah dikembalikan oleh Singapura ke Malaysia.

Selain itu, pendedahan Tan Sri Tommy Thomas beberapa hari kemudian bahawa semasa menjadi Peguam Negara, beliau sudah lama tahu bekas Gabenor BNM dan suaminya memainkan peranan untuk memudahkan Jho Low tapi tak pernah ambil tindakan.

”Sekali lagi, Uncle (Kit Siang) buat bodoh je walaupun ianya Uncle yang janji Tommy akan dilantik Peguam Negara sekiranya PH menang PRU,” kata Najib.

Malah, katanya, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu buat-buat tak nampak berhubung dokumen 14 muka surat dipercayai kertas siasatan rahsia SPRM terbongkar yang menyatakan seorang bekas menteri terlibat dalam SRC International telah menerima dan menyorok RM85 juta dana berkaitan 1MDB dalam akaun proksi di Singapura. – MalaysiaGazette