KUALA LUMPUR – UMNO hari ini menggesa satu sidang khas Dewan Rakyat diadakan bagi membolehkan masalah mangsa banjir dapat dibincangkan.
Menurut presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, partinya tidak berpuas hati dengan koordinasi agensi-agensi berkaitan yang sepatutnya aktif digerakkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ketika banjir berlaku di beberapa negeri, baru-baru ini.
“Agensi-agensi berkaitan yang sepatutnya aktif digerakkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) seolah-olah tidak bermaya dan amat lemah sekali dalam menghadapi musibah banjir pada kali ini sedangkan NADMA mempunyai garis panduan penyelarasan musibah banjir yang komprehensif sejak dibangunkan pada 2014.
“UMNO turut menyarankan agar sidang khas Dewan Rakyat mengenai bencana banjir diadakan bagi membolehkan wakil-wakil rakyat mengutarakan pandangan dan resah rakyat serta melontarkan cadangan-cadangan untuk membantu kerajaan mencari jalan terbaik menghadapi bencana yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, beberapa ahli UMNO antaranya Ahli Majlis Tertingginya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mempersoalkan kenyataan agensi itu tidak terbabit dalam soal pengurusan bencana.
Ia ekoran kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Abdul Latiff Ahmad yang dilaporkan berkata, NADMA hanya menjaga urusan dalam pemberian pampasan kepada mangsa selepas mendapat maklumat dan senarai daripada negeri.
Katanya, NADMA juga tidak bercadang untuk menempatkan pejabat dan kakitangannya peringkat daerah kerana ia melibatkan kos yang besar.
Dalam pada itu, UMNO, kata Ahmad Zahid bertegas agar kerajaan membenarkan pengeluaran kali kedua i-Citra secara one-off.
“UMNO juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permintaan rakyat agar dibenarkan pengeluaran kali terakhir caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di secara one-off sebanyak RM10,000 kerana rakyat benar-benar berhadapan dengan kesempitan hidup akibat pandemik Covid-19 bukan sahaja yang ditimpa dengan musibah banjir.
“Ini juga sejajar dengan ketetapan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada 27 Ogos 2021,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang KWSP berjumlah RM10,000 biarpun ada permintaan agar ia dipertimbangkan bagi tujuan meringankan beban mangsa banjir yang terjejas.
Katanya kerajaan telah memperuntukkan dana serta mengumumkan bantuan yang mencukupi bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara. – MalaysiaGazette
RASUAHHHH terkena batang hidung MP2/ADUN/VIP ada pula istilah dREHATKAN dan AMBIL CUTI MALAHAN BEBAS BERKEMPEN DAN MERAYAU RAYAU RASMI MAJLIS2…tetapi jika rakyat biasa yg terlibat dan baru dalam DAKWAAN saja sudah bergari dan berbaju LOKAP PESALAH….
.HEBATNYA UNDANG2 MALAYSIA