Steven Sim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Mertajam menyelar tindakan Majlis Sukan Negara yang menggugurkan seramai 144 atlet yang telah memberi sumbangan kepada sukan negara.

Steven Sim berkata, tindakan menggugurkan atlet daripada program latihan kebangsaan itu amat mengecewakan.

Menurutnya, lebih baik pecat 10 orang menteri dan 10 timbalan menteri bergaji besar dalam Kabinet gergasi yang gagal untuk berfungsi daripada menggugurkan atlet yang telah sekian lama berkhidmat untuk negara tanpa sebarang ganjaran yang lumayan.

Malah, katanya, gaji menteri dan timbalan menteri tersebut lebih daripada memadai untuk menampung kembali atlet negara dalam program latihan sukan mereka.

Semalam, MSN memaklumkan terpaksa menggugurkan 144 atlet daripada program latihan kebangsaan dan mengurangkan elaun latihan atlet negara ekoran kurang peruntukan.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menegaskan tindakan itu terpaksa diambil memandangkan negara memberikan lebih keutamaan terhadap usaha memulihkan ekonomi pasca Covid-19, selain insiden banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.

Steven yang juga bekas timbalan menteri belia dan sukan berkata, beliau pernah membangkitkan isu kekurangan dana yang diperuntukkan untuk sukan kompetitif pada 29 November 2021 semasa perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Belanjawan
2022 untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Sebagai contohnya, bagi penyediaan sukan antarabangsa, KBS hanya memperuntukkan sebanyak RM17.5 juta untuk tahun 2022, sedangkan negara bakal menghadapi tiga acara sukan antarabangsa iaitu Sukan SEA Hanoi 2021, Sukan Asia Hangzhou 2022 dan Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Bandingkan peruntukan ini dengan Belanjawan 2018 yang mana RM71.5 juta telah diperuntukkan untuk Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dan Sukan Asia Jakarta 2018.

”Saya telah menyatakan kekhuatiran bahawa, dengan pengurangan mendadak ini, atlet dan persatuan sukan tidak mendapat peruntukan yang mencukupi untuk berdepan dengan cabaran sukan antarabangsa pada tahun ini.

”Namun, ketika saya membangkitkan jurang peruntukan belanjawan yang besar tersebut, Menteri Belia dan Sukan sendiri telah menjawab di Dewan Rakyat bahawa KBS telah pun meneliti tentang perkara ini dan pihak MSN dan juga pihak KBS telah pun memberi komitmen bahawa segala perancangan daripada atlet-atlet kita dan juga persatuan-persatuan sukan yang akan mengambil bahagian tidak akan terabai dan memastikan mereka akan berada di tahap prestasi yang terbaik bagi mencapai sasaran
yang telah ditetapkan,” katanya yang menyebut petikan hansard Parlimen.

Sim mendakwa menteri telah menipu di Parlimen apabila hanya sebulan selepas jaminan beliau, seramai 144 orang atlet telah digugurkan daripada program latihan sukan kebangsaan.

Malah, ada sesetengah atlet negara telah mengadu KBS tidak berunding dengan mereka sebelum membuat keputusan menamatkan perkhidmatan tersebut.

”Ini telah memperlakukan atlet kebangsaan kita seakan-akan ”alat pakai buang” yang boleh disingkirkan bila-bila masa dengan begitu sahaja.

”Sepatutnya, para atlet perlu diberi jaminan kerja dan pasca-kerjaya sukan agar mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada mencapai kecemerlangan dalam sukan masing-masing,” ujarnya. – MalaysiaGazette