Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk Seri R. S. Thanenthiran bergambar selepas Program Khas di Riverside Cafe, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 07 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Arah tuju negara telah diputuskan oleh nenek moyang kita dahulu dan ia berbeza dengan negara-negara lain, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Justeru itu, kenyataan penggunaan kayu penyepit yang sinonim dengan masyarakat Cina adalah salah kerana negara ini dibina atas dasar integrasi dan bukannya asimilasi pelbagai kaum di negara ini.

“Anda salah Dr Mahathir. Nenek moyang kita telah putuskan bahawa arah kita untuk Malaysia adalah berbeza. Kita putuskan untuk tidak buat asimilasi tapi kita putuskan untuk integrasi.

“Nenek moyang kita sudah katakan, mereka yang pilih negara ke arah itu. Kita pilih integrasi yang mana masyarakat Cina, India, Kadazan dan Iban mereka ada kehidupan, budaya, agama dan bahasa sendiri.

“Tapi kita hidup bersama secara harmoni itu adalah Malaysia. Bukan untuk kita buat masyarakat Cina lebih Melayu, tidak,” katanya ketika berucap pada program ‘Bossku our national pride’ dan santai bersama Datuk Seri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Turut hadir, Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk Seri R. S. Thanenthiran.

Najib berkata demikian mengulas analogi ‘chopsticks’ oleh Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengulas mengenai proses asimilasi kaum Cina di Malaysia.

Pada 27 Disember lalu, Najib ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi China Sedunia 2021 berkata tidak perlu masyarakat Cina negara ini makan dengan penyepit, garfu dan sudu atau menggunakan tangan sekali pun asalkan dalam hati dan fikiran mereka memiliki jiwa rakyat Malaysia yang sejati.

Beliau menambah, orang Cina telah berjaya menunjukkan kemahiran keusahawanan, kecekalan, kebolehan dan ketabahan untuk menghadapi cabaran yang sukar.

Dalam pada itu, Najib berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang diversiti dan sebarang aktiviti asimilasi terhadap kaum lain di negara ini adalah sesuatu yang tidak patut.

“Kita tidak boleh jadikan masyarakat India lebih Melayu untuk jadi bangsa Malaysia walaupun ramai ‘India’ dalam UMNO, kita terima mereka sebab mereka adalah kawan kita.

“Kadang kala saya keliru, saya di majlis MIC ataupun UMNO. Kita terima kerana itu adalah Malaysia yang diversiti, unik,” katanya lagi.

Anologi Dr. Mahathir terhadap kaum Cina turut diselar bekas rakan seperjuangan di bawah Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang memegang jawatan Menteri Kewangan ketika pentadbiran Dr. Mahathir berkata, kenyataan bekas Perdana Menteri itu ‘simplistic’ dan menyinggung kaum Cina.

“Adakah bererti orang Melayu menggunakan kayu penyepit atau garfu hilang kemelayuannya? Malah ramai bukan Cina di Malaysia dan Barat bangga dengan kebolehan menggunakan kedua-duanya tanpa hilang identiti bangsa,” kata Guan Eng sebelum ini. – MalaysiaGazette