Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mendengar taklimat berkenaan operasi banjir pada Program Mekar Pihatin Pasca Banjir di Dewan Komuniti Sri Nanding Hulu Langat, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 07 JANUARI 2022.

HULU LANGAT – Etnik Rohingya yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) diingatkan supaya tidak naik kepala atau melanggar undang-undang di negara ini.

Itu amaran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin terhadap etnik berkenaan terutamanya kumpulan yang terlibat dengan kegiatan mengemis di jalanan.

Menurut Hamzah, etnik Rohingya perlu faham dan sedar mengenai kedudukan mereka kerana golongan terbabit bukan rakyat di negara ini.

“Saya sudah hampir dua tahun berjuang untuk memastikan mereka yang mempunyai kad UNHCR faham akan kedudukan mereka, mereka bukan rakyat, mereka hanya duduk di sini sebagai pelarian, (jadi) kena faham bahawa Malaysia bukan lah negara yang akan menjadi ‘cemeteries’ kepada pelarian kerana kita hanya membantu.

“Jadi atas sifat perikemanusiaan itu kita cuba membantu sebaik mungkin tapi jangan sampai naik kepala, bila naik kepala saya nak maklumkan bahawa saya adalan Menteri Dalam Negeri yang tidak suka sesiapa sahaja naik kepala kepada undang-undang yang ada, kita akan lakukan sesuatu,” katanya.

Hamzah berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Program Mekar Prihatin Pasca Banjir anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Taman Sri Nanding, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, semua individu sama ada warganegara, bukan warganegara bahkan pelarian perlu akur terhadap penguatkuasaan undang-undang di negara ini.

“Sesiapa sahaja kalau nak duduk dalam negara ini, dia kena ikut undang-undang. Kalau mereka tidak mengikut undang-undang, boleh diambil tindakan, itu pasti.

“Betul, kita simpati kepada golongan berkenaan tetapi mereka tidak boleh sehingga menimbulkan masalah contohnya aktiviti meminta sedekah di lampu isyarat sehingga memaki hamun, perkara itu tak sepatutnya berlaku dalam negara ini

“Jadi kita cuba untuk mengajar semua pihak yang mahu duduk di sini supaya faham ini adalah sebuah negara yang mempunyai undang-undang yang harus diikuti oleh semua,” ujarnya.

Media semalam melaporkan, polis tidak menolak kemungkinan wujudnya sindiket mendalangi etnik Rohingya yang menjalankan kegiatan mengemis di jalanan di sekitar Kuala Lumpur dan beberapa bandar di negeri-negeri lain.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, ketika ini polis sedang menjalankan siasatan dan mengumpul maklumat mengenai kegiatan tersebut.

Baru-baru ini, beberapa video tular di laman sosial memaparkan kanak-kanak etnik Rohingya meminta sedekah daripada pemandu kenderaan di tengah kesibukan jalan raya di ibu negara. – MalaysiaGazette