aja Bomoh, Ibrahim Mat Zin ketika hadir di kawasan kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 24 MEI 2018.
Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin. foto AFIQ RAZALI, 24 MEI 2018.

IPOH – Ibrahim Mat Zin atau digelar ‘Raja Bomoh’ yang ditahan atas dakwaan mencela dan menghina agama Islam, dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Ibrahim, 71, dan ‘Puteri Zaleha’ atau nama sebenarnya, Suliaha Abdul Hamid, 62, tiba di perkarangan mahkamah pada 10 pagi sebelum dibawa masuk ke bilik bicara.

Pendakwa Syarie Negeri Perak, Suhaili Ishak memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak mengemukakan kertas pertuduhan pada prosiding hari ini kerana masih memerlukan masa untuk mengambil keterangan dan menjalankan siasatan lanjut.

Sehubungan itu, Suhaili memohon supaya Ibrahim dan Suliaha dibebaskan dengan jaminan mengikut Seksyen 22 Enakmen Tatacara Jenayah Perak 2004.

Hakim Syarie Mohammad Najib Ab Razak membenarkan kedua-dua individu itu yang tidak diwakili peguam dibebaskan dengan jaminan RM3,000 setiap seorang dan menetapkan 23 Februari untuk sebutan semula kes.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 14 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam serta Seksyen 16 Enakmen sama kerana mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dilapor telah membuka kertas siasatan terhadap Ibrahim berhubung satu ritual menolak bala dilakukan di Dataran JPS di Teluk Intan yang videonya tular di media sosial pada Rabu.

Susulan itu, Ibrahim dan tiga individu lain ditahan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIPk (Ipoh) pada petang Khamis.

Video berdurasi 25 minit yang tular di Facebook itu memperlihatkan Ibrahim bersama seorang wanita dikenali sebagai ‘Puteri Zaleha’ membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast