Mahasiswa UTeM yang telah ditauliahkan dengan pangkat Inspektor Kor Sukarelawan Polis (Kor SUKSIS/KS) di Majlis Pentauliahan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor SUKSIS UTeM 2021 yang diadakan baru-baru ini sedang membaca ikrar.

KUALA LUMPUR – Seramai 60 orang mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah ditauliahkan dengan pangkat Inspektor Kor Sukarelawan Polis (Kor SUKSIS/KS) di Majlis Pentauliahan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor SUKSIS UTeM 2021 yang diadakan di Melaka baru-baru ini.

Dalam majlis yang berkonsep norma baharu di Dewan Kuliah Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP), UTeM, Durian Tunggal, mereka turut dianugerahkan sijil pelantikan sebagai Pegawai Kor SUKSIS kerana telah berjaya tamat latihan yang telah mereka jalani selama enam semester.

Pada majlis tersebut, Inspektor KS Norfirdaus Azimi Roslan yang merupakan penuntut kursus Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Teknologi Automotif) dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan (FTKMP) telah dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan.

Sementara itu, Inspektor KS Nurul Hidayah A. Halim pelajar kursus Ijazah Sajana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik & Kejuruteraan Komputer (FKEKK) telah dianugerahkan Pelatih Terbaik Latihan Luar.

Pelatih Terbaik Akademik pula menjadi milik Inspektor KS Wan Nur Adelina Megat Asrul Hazaman pelajar kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi (FTMK).

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar berkata, program Kor SUKSIS ini merupakan satu usaha kerajaan untuk mendekati pelajar melalui aktiviti-aktiviti yang berfaedah, membina serta mampu mengimbangi pembentukan minda.

Beliau berharap pegawai-pegawai Kor SUKSIS UTeM ini dapat menceburkan diri dalam dunia kepolisan dengan memohon untuk menjadi seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dengan berbekalkan ilmu dan pengalaman yang telah mereka perolehi sepanjang menjalani latihan selama 6 semester sebelum ini.

“Karakter diri melalui keterlibatan dalam Kor SUKSIS merupakan salah satu platform yang sangat tepat dan membuahkan hasil yang cukup membanggakan kerana berjaya melahirkan modal insan yang terlatih dan berdisiplin tinggi,” katanya dalam kenyataan yang diberikan sempena dengan majlis tersebut.

Pada masa yang sama beliau turut mengucapkan tahniah buat semua mahasiswa UTeM yang telah berjaya menamatkan dan ditauliahkan sebagai Pegawai Kor SUKSIS yang berpangkat Inspektor KS.

Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor SUKSIS UTeM telah disempurnakan oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif, Timbalan Komandan Kor Suksis UTeM Penguasa /Supt. Kor SUKSIS Datuk Azhar Mohamed, pegawai kanan Kontinjen Melaka dan Bukit Aman serta pegawai kanan UTeM.- MalaysiaGazette