KUALA LUMPUR – Al Ansar IBS PLT (An Ansar), syarikat kontraktor bina banglo terpilih menerima Anugerah Quality Brand sempena penganjuran Ekspo Pameran dan Jualan IFood di Pavillion Bukit Jalil baru-baru ini.
Penganjuran yang julung kali diadakan oleh HQC Global Brand Awards (HGBA) itu turut menobatkan 21 lagi syarikat usahawan tempatan yang memasarkan kepelbagaian produk bertujuan mengembalikan kerancakan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menurut Pengurus Besar Al Ansar IBS PLT, Farizal Tumiran, anugerah tersebut amat memberi makna kepada syarikatnya yang turut terkesan akibat pandemik namun pihaknya sentiasa bersikap positif.
“Dalam tempoh dua tahun dalam fasa pandemik, syarikat bina banglo IBS turut merasai tempias jatuh bangun dalam perniagaan. Ini disebabkan sesetengah pelanggan yang telah merancang membina kediaman terpaksa membatalkan tempahan atas desakan menggunakan peruntukan untuk tujuan lain.
“Sebagai kontraktor perumahan, kami memahami situasi pelanggan yang terpaksa mendahulukan keperluan hidup yang lebih utama kerana ada di kalangan mereka yang diberhentikan kerja, mendapat separuh gaji daripada majikan dan perniagaan yang dijalankan sebelumnya merudum.
“Bagaimana pun masih ada pelanggan yang sejak awal-awal lagi bijak merancang dengan baik untuk membina kediaman semasa pandemik dan meneruskan pembinaan. Mereka berpuas hati apabila banglo IBS siap dalam tempoh kurang daripada enam bulan,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Farizal lagi, selain menggalakkan pelanggan membina banglo atas tanah sendiri pihaknya turut menawarkan diskaun dan hadiah-hadiah iringan yang lebih kurang bernilai RM20,000.
Jelas beliau, penawaran tersebut menjadi salah satu tarikan pelanggan dan menzahirkan syarikat mampu mencapai sasaran jualan sepanjang tempoh tahun 2021.
“Justeru, Anugerah Quality Brand yang diterima adalah lambang kerja keras kami selama ini untuk terus bertahan memberi yang terbaik kepada pelanggan. Kejayaan ini memberi suntikan semangat kepada keluarga besar syarikat menjelang tahun baru, 2022,” ujarnya
Sementara itu, Pengerusi HGBA, Datuk Khairul Shahril ketika ditemui, pengiktirafan kepada 22 syarikat dalam pelbagai kategori sebagai tanda aras semangat dan kejayaan mereka yang luar biasa menjalan perniagaan walaupun dalam situasi yang sukar.
“Usahawan yang terpilih telah membuktikan selain komitmen majikan dan kakitangan kekal bersatu bertahan dan berusaha mencari alternatif perniagaan berterusan, mereka juga membuktikan memiliki daya saing yang tinggi dan mampu pergi lebih jauh.
“Saya mewakili pihak penganjur berharap, kejayaan yang dicapai hari ini mampu membakar semangat juang yang lebih tinggi kepada mereka mengekalkan perniagaan di peringkat domestik dan antarabangsa,” ujarnya.
Tambahnya, ekspo selama tiga hari itu telah disertai oleh 150 syarikat tempatan yang memperkenalkan produk makanan dan minuman dan berjaya menyasarkan 50,000 pengunjung. – MalaysiaGazette