Muhammad Azmi Onn melihat buku rujukan dan sijil-sijil pentingnya termasuk buku sekolah dua adiknnya rosak teruk selepas rumah mereka ditelenggami air di Kampung Alai akibat banjir sejak Sabtu lalu.

SEGAMAT – Seorang penuntut Kolej Vokasional Segamat di sini terpaksa melupakan hasratnya untuk ke kolej selepas cuti semester apabila rumah yang diduduki dilanda banjir baru-baru ini.

Muhammad Azmi Onn,19, hanya mampu tergamam melihat buku rujukan dan sijil-sijil pentingnya termasuk buku sekolah dua adiknnya rosak teruk selepas rumah mereka ditelenggami air di Kampung Alai akibat banjir sejak Sabtu lalu.

Azmi yang ketika itu baru pulang dari Johor Bahru mengambil keputusan berjaga sehingga ke pagi pada hari kejadian kerana bimbang keselamatan adik dan kedua orang tuanya.

Muhammad Azmi Onn

Berkongsi detik cemas berkenaan, anak sulung daripada tiga adik beradik itu berkata, walaupun  telah meletakkan sijil-sijil terlibat di atas almari namun dia tidak menyangka air banjir melepasi paras tingkap rumah.

Katanya, selain sijil-sijil persekolahan banyak yang rosak, sebahagian buku rujukan turut dibawa arus deras sekelip mata.

Walaupun reda namun perasaan sedih tetapi dirasainya.

“Sijil-sijil tenggelam tetapi tidak sempat selamatkan sebab ada barang-barang lain nak bawa semua, sijil PT3,sijil politeknik semua tidak sempat diselamatkan.

“Nanti kena minta semula sijil di sekolah lama sepatutnya hari ini naik kolej tetapi boleh cuti lagi.

“Masa kejadian,  saya baru balik daripada Johor Bahru tengok air sudah mula naik, malam itu juga berjaga tidak tidur dan pukul 4 pagi air sudah mula masuk.

“Saya cari sijil-sijil sebab itu barang yang penting tetapi letak atas robok (almari) pun tak boleh buat apa .Keluarkan barang- barang lain hampir lupa sijil,” katanya ketika ditemui di Kampung Alai dekat Segamat hari ini.

Sementara itu, bapanya, Onn Sani, 50, terpaksa berputih mata apabila kesemua barang keperluan di dalam rumah  rosak teruk termasuk kelengkapan sekolah anak-anaknya.

Onn Sani

“Waktu itu kita fikir selamatkan anak-anak. Lain-lain kita capai pakaian mana yang sempatlah kerana air naik terlalu deras.

“Kita kena reda nak buat macam mana tetapi saya ada terima makluman ada pihak akan datang lihat bila air sudah surut tengok kerosakan pakaian budak,” katanya.

Tinjauan MalaysiaGazette di Kampung Alai mendapati beberapa buah keluarga mula pulang ke rumah masing-masing menaiki bot untuk melihat sendiri kemusnahan yang dialami akibat bencana alam itu.

Walaupun cuaca mula bertambah baik  sejak dua hari lalu namun paras air di kawasan kampung berkenaan masih lagi belum surut.- MalaysiaGazette