Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka kekal tidak banyak berubah minggu depan dalam persekitaran sentimen pasaran berhati-hati, terutamanya daripada peringkat luaran, tetapi indeks utama akan terus melebihi paras psikologi pada 1,500, kata peniaga.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangka petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak dalam jajaran kecil antara 1,535 dan 1,545.

Beliau berkata,  bursa tempatan akan terus mencatatkan turun naik berikutan tarikh mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) semakin hampir.

“Dilihat Fed AS dijangka mengekalkan pendiriannya untuk menyokong kadar faedah tinggi jika data senarai gaji bukan ladang dan jumlah pengangguran pada Disember menunjukkan peningkatan yang lebih baik.

“Jika sedemikian, pasaran buruh dijangka berada dalam situasi sukar apabila majikan menghadapi kesukaran untuk mencari pekerja, yang akan membawa kepada gaji yang tinggi untuk menarik mereka bekerja. Oleh itu, dijangka pergerakan tidak menentu dalam harga ekuiti di peringkat global pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Mesyuarat pertama FOMC pada tahun ini dijadualkan pada 25 hingga 26 Januari manakala mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pertama Bank Negara Malaysia pada 2022 akan diadakan pada 19 hingga 20 Januari.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng turut menjangka FBM KLCI kekal diniagakan tidak banyak berubah dengan paras sokongan segera pada 1,530 dan paras halangan pada 1,570.

“Saya berpendapat had duti setem pada RM1,000 akan menarik pelabur, tetapi sentimen di peringkat tempatan dan serantau secara keseluruhannya masih tidak begitu stabil. Masih terdapat peningkatan tetapi perlu berhati-hati,” katanya.

Duti setem untuk dagangan saham telah dinaikkan kepada 0.15 peratus daripada 0.1 peratus tetapi dihadkan kepada RM1,000, bermula 1 Jan 2022 hingga 31 Dis 2026.

Bagi minggu baru berakhir, bursa tempatan terjejas oleh aktiviti pengambilan untung berikutan aktiviti memperelokkan akaun pada akhir tahun, kebimbangan mengenai varian koronavirus yang baharu, hasil Perbendaharaan AS dan langkah pengurangan bonnya serta harga minyak mentah dan minyak sawit mentah (MSM) yang kukuh.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI merosot 24.42 mata untuk mengakhiri minggu ini kepada 1,543.11 daripada 1,567.53 sebelum ini.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 91.37 mata kepada 11,217.42, Indeks FBMT100 susut 111.49 mata kepada 10,903.64 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 203.62 mata kepada 12,059.48.

FBM 70, bagaimanapun, meningkat 117.46 mata kepada 14,327.41 dan FBM ACE naik 272.43 mata kepada 6,692.03.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 141.78 mata kepada 15,707.424, Indeks Perladangan naik 166.72 mata kepada 6,718.83 dan Indeks Tenaga meningkat 18.98 mata kepada 722.85.

Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.44 mata kepada 202.27, Indeks Teknologi susut 0.44 mata kepada 96.17 dan Indeks Penjagaan Kesihatan turun 33.16 mata kepada 2,303.16.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 17.76 bilion unit bernilai RM9.18 bilion daripada 11.53 bilion unit bernilai RM8.21 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 9.05 bilion saham bernilai RM7.58 bilion daripada 6.52 bilion saham bernilai RM7.18 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 990.62 juta unit bernilai RM123.12 juta daripada 776.02 juta unit bernilai RM98.11 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 7.68 bilion saham bernilai RM1.46 bilion daripada 4.18 bilion saham bernilai RM907.35 juta pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast