Faiz Subri. Foto Facebook Penang FC.

KUALA LUMPUR – Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Mohd. Faiz Subri menganggap musim 2022 sebagai tahun kebangkitan untuk kembali mencipta nama bersama Penang FC selepas dua tahun tidak beraksi dalam Liga Malaysia.

Faiz mengakui cukup teruja untuk kembali ke padang dan bersyukur apabila akhirnya diberi kepercayaan mempertaruhkan aksi selepas dua tahun menanti untuk mendapat tawaran daripada kelab.

Namun, pemain berusia 35 tahun ini sedar ia akan menjadi perjalanan yang cukup mencabar untuk kembali mendapatkan momentum terbaik memandangkan Penang juga mempunyai ramai pemain berkualiti selain sudah lama tidak merasai saingan di pentas Liga Super.

“Banyak benda yang berlaku dalam tempoh dua tahun ini kerana sepatutnya saya beraksi dalam Liga M3 terlebih dahulu, tetapi disebabkan Covid-19, saya terpaksa tangguh niat sehinggalah akhirnya musim ini dapat tawaran bersama Penang FC.

“Tapi saya perlu masa untuk bangkit semula sebab dua tahun tidak beraksi dalam liga kompetitif apatah lagi tahap saingan adalah tinggi dengan beraksi di Liga Super.

‘Saya pula sebelum ini berlatih sendiri sahaja di rumah, dan kali ini berlatih dalam satu pasukan, rasa suasana agak berbeza sedikit dan bukan senang untuk terus serasi”, katanya.

Dalam masa sama, Faiz yang pernah beraksi bersama skuad Harimau Kumbang selama empat musim dari tahun 2015 ke 2018 mahu membuktikan kudratnya masih berbisa untuk membantu pasukan sekurang-kurangnya meraih satu piala pada musim ini.

“Tahun ini memang kena kerja keras sebab bukan senang kita nak buktikan yang kita masih lagi mampu beraksi dengan baik di padang seperti dulu.

“Yang penting, saya nak menjadi sebahagian daripada pemain yang dapat bantu Penang meraih kedudukan lebih baik dan sekurang-kurangnya dapat menang satu trofi pada musim ini, insyaAllah”, tambahnya.

Terdahulu, Faiz menyertai kelab Liga M3 Northern Lions FC pada musim 2020 sebelum liga dibatalkan susulan Covid-19 dan pada musim lalu, dia menyertai Kuala Kangsar FC tetapi sekali lagi terpaksa menangguhkan hasrat untuk beraksi atas faktor sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast