Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kanan) bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Aminudin Shari mendengar taklimat bencana banjir yang berlaku ketika Program Mega Pembersihan Pasca Banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 08 JANUARI 2022.

SHAH ALAM – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM50 juta untuk membaiki kemudahan awam yang terjejas teruk akibat banjir di setiap negeri.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, infrastruktur itu merangkumi parit, longkang dan padang awam yang terletak di dalam kawasan 51 di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

“Saya hanya melihat untuk memperbaiki kerosakan-kerosakan kemudahan awam yang berlaku akibat banjir.

“Parit-parit dan longkang-longkang di bawah kawal seliaan KPKT, Insya-Allah saya akan peruntukan jumlah RM50 juta untuk operasi pembaikan kemudahan awam yang berkaitan dengan kawasan PBT.

“Peruntukan ini baru dan RM50 juta ini untuk satu Malaysia,” katanya pada sidang media di Taman Sri Muda hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bercakap kepada media pada Program Mega Pembersihan Pasca Banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 08 JANUARI 2022.

Terdahulu beliau dan Menteri Besar mendengar taklimat operasi pembersihan mega pasca banjir di Taman Sri Muda anjuran KPKT dan Kerajaan Negeri Selangor yang disampaikan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Dalam pada itu, Reezal Merican tidak menolak kemungkinan untuk menambah peruntukan pembaikan infrastruktur itu dan RM50 juta hanya dana permulaan dan pihaknya perlu menunggu jumlah kerosakan kemudahan awam selepas selesainya banjir di negeri-negeri lain.

“Peruntukan awal RM50 juta, ini hanya khas untuk pembaikan infrastruktur-infrastruktur awam, namun angka itu tidak boleh saya letakkan sebagai statik

“Ada negeri yang belum lagi (surut banjir), Segamat masih lagi bertakung, Sekijang masih lagi bertakung, tentulah angka itu akan naik, ia bergantung kepada PBT,” jelasnya.

Menurutnya, ketika ini masih awal untuk mengumumkan jumlah sebenar kerosakan dan peruntukan yang diperlukan setiap kawasan PBT terjejas akibat gelombang kedua banjir besar ini.

“Untuk infrastruktur awam, kita masih menunggu mereka (negeri dan PBT) untuk datang, ini baru minggu ketiga.

“Ada kadang kala insfrastrukur seperti longkang, kawasan jalan yang rosak, Insya-Allah kita akan tugas semua PBT untuk semak balik, yang mana aset yang rosak semasa banjir,” katanya.

Sementara itu, menyentuh soal sistem saliran di negeri-negeri yang terjejas banjir, Reezal Merican berkata ia akan diselaraskan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dengan kerajaan negeri selepas ini.

“Kalau dari segi perancangan lebih besar nak lihat dari segi pengairan, itu tentulah melibatkan kerajaan negeri dan KASA,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast