Kontraktor pembersihan membantu membersihkan sampah dan sisa banjir di kawasan sekitar perumahan pada Program Mega Pembersihan Pasca Banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 08 JANUARI 2022.

SHAH ALAM – Sebanyak RM12.5 juta telah dibelanjakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri-negeri yang terjejas banjir besar setakat semalam.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM5.037 telah dibelanjakan bagi tujuan pembersihan sampah-sarap banjir di Selangor sahaja.

“Dengan kerjasama di antara SWCorp dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), hampir 50,000 tan sisa banjir telah dikeluarkan dan dibawa ke tapak pelupusan.

“Bagi kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sahaja, sebanyak 20,500 tan sisa banjir telah dapat diuruskan,” katanya pada sidang media di Taman Sri Muda hari ini.

Sukarelawan dan kontraktor pembersihan membantu membersihkan sampah dan sisa banjir di kawasan sekitar perumahan pada Program Mega Pembersihan Pasca Banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 08 JANUARI 2022.

Dalam pada itu, sebanyak 77,465 sisa banjir telah diuruskan SWCorp di lima negeri yang terjejas banjir, setakat semalam.

Pahang sebanyak 27,350 tan, Negeri Sembilan (1,270 tan), Kuala Lumpur (630 tan), Melaka (115 tan) dan Selangor (48,100 tan) dengan kerjasama KDEB.

Sementara itu, seramai 1,400 tenaga sukarelawan dan 600 pekerja pembersihan terlibat dalam Program Mega Pembersihan Pasca Banjir di Taman Sri Muda, hari ini.

“KPKT dan seluruh agensi di bawahnya komited membantu merawat keresahan rakyat yang terkesan akibat banjir baru-baru ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette