Datuk Seri Mahdzir Khalid. Foto AMIRUL SHAUFIQ.

KUALA LUMPUR – Premis dan Tabika Kemas akan dijadikan sebagai pusat sehenti bagi menyemak kelayakan bantuan pembaikan rumah mangsa banjir mulai Selasa depan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bancian jumlah rumah yang perlu dibaiki dan dibina semula sedang dilakukan dan kerja-kerja pembinaan akan dilaksanakan sebaik data bancian lengkap.

“KPLB memutuskan untuk menjadikan premis dan Tabika Kemas di lokasi banjir sebagai pusat sehenti mulai Selasa depan untuk memudahkan semakan dan pendaftaran kelayakan.

‘Sebagai permulaan KPLB akan berada di Tabika Kemas Bukit Changgang, Banting Selangor selama tiga hari bermula Selasa ini untuk mengemas kini dan menyemak data pemohon yang layak untuk bantuan pembaikan rumah pasca banjir,” katanya dalam satu kenyataan.

Di bawah Program Bantuan Rumah KPLB sebanyak RM15,000 diperuntukan untuk membaik pulih rumah dan RM56,000 untuk membina rumah baharu di Semenanjung Malaysia.

Sementara di Sabah dan Sarawak pula sebanyak RM68,000 diperuntukan untuk membina rumah baharu.

Menurut Mahdzir, semua permohonan ketua isi rumah (KIR) untuk pembaikan rumah perlu dibuat melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah dan pejabat daerah sebelum disah dan didaftarkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

KPLB juga telah menggerakkan semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi membantu mengumpul data penduduk yang terkesan dengan bencana banjir untuk diserahkan kepada PKOB daerah.

“Untuk program pembaikan rumah mangsa banjir, saya dimaklumkan bahawa hari ini KPLB telah memulakan penilaian kerosakan, dijangka kerjakerja pembaikan akan bermula esok membabitkan sembilan buah rumah mangsa banjir di Kuala Klawang dan Chennah, Jelebu, Negeri Sembilan,” jelasnya.

Mahdzir turut menjemput kementerian dan agensi lain yang terlibat dengan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia untuk memudahkan proses menyalurkan bantuan pasca banjir di pusat sehenti premis dan Tabika Kemas yang disediakan oleh KPLB.

Lokasi dan tarikh akan dimaklumkan melalui laman web rasmi KPLB, media sosial rasmi dan Bilik Gerakan Bencana KPLB di talian 03-88915827. – MalaysiaGazette